Ramadan tanpa Bazar

JALAN HIKMAH

A
A
A

ALLAH Taala berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Esok kita akan mendengar pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia berhubung tarikh permulaan puasa. Suatu saat yang sangat-sangat dinantikan oleh mereka yang rindukan Ramadan. Tidak sabra untuk melalui madrasah Ramadan untuk kesekian kalinya dalam diari kehidupan.

Kali ini kita menyambut Ramadan dalam suasana yang amat istimewa sekali. Istimewa kerana kita sedang berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan. Setelah 53 tahun berada di muka bumi ini, inilah kali pertama saya berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Dan ini jugalah kali pertama Ramadan tanpa Bazar Ramadan.

Saya tidaklah kisah sangat bila kerajaan umumkan tiada Bazar Ramadan di sepanjang bulan puasa nanti. Tidak merasa sedih atau seumpamanya. Ini kerana saya sudah puluhan tahun tidak memijakkan kaki ke Bazar Ramadan. Anak-anak saya juga tidak membesar dengan Bazar Ramadan.

Pada bulan puasa saya lebih suka makan makanan yang dimasak sendiri. Kalau ada kuih sekalipun, bukan yang kami beli di Bazar Ramadan tetapi kerana diberi oleh jiran berdekatan.

Itu jika dipandang pada sisi saya dan keluarga saya.

Namun, jika dipandang dari sisi mereka yang selalunya mendapat untung dan laba yang banyak pada bulan Ramadan, tentu sekali sangat terasa sayu di dalam hati apabila tiada lagi ruang untuk berniaga pada bulan Ramadan.

Kesedihan ini sudah pasti melanda hati mereka kerana bagi peniaga, itulah punca pendapatan mereka. Jika perniagaan tidak boleh dilakukan, maknanya tiadalah pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang sentiasa berfikiran positif, mereka tidak mudah mengalah dengan apa jua ujian hidup. Mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk memasarkan produk mereka dalam bentuk yang tidak melanggar PKP.

Saya yakin setiap peniaga ada pelanggan setia masing-masing. Mereka boleh memasarkan barang jualan mereka secara secara atas talian.

Dalam kumpulan WhatsApp taman saya, boleh diibaratkan bagai lalulintas yang sangat sesak. Macam-macam iklan dan tawaran menjelma setiap detik sehingga saya tidak sempat singgah pada setiap hentian.

Jadi, Ramadan tanpa Bazar Ramadan tidak menghalang mereka yang mahu berusaha dengan apa cara sekalipun untuk menjana pendapatan. Daya kreativiti yang tinggi dan bijak dalam mengatur strategi amat penting bagi seorang peniaga. Cuma pada musim PKP, setiap orang mesti mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Apapun, bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya kita kurangkan urusan keduniaan. Kita banyakkan fokus kita untuk menjadikan madrasah Ramadan ini sebagai tempat untuk kita perbaiki diri kita. Tempat untuk perbaiki hubungan kita dengan Allah dan seterusnya hubungan kita sesama manusia.

Tanamkan azam untuk tidak menjadikan bulan ini sebagai bulan pesta makanan. Tanamkan azam untuk tidak lagi berkata-kata melainkan yang baik belaka. Tanamkan azam untuk melakukan solat Tarawih pada setiap malam secara berjamaah dengan ahli keluarga.

Tanamkan azam untuk keluar dari madrasah Ramadan ini dengan menjadi orang yang lebih baik dan lebih bermanfaat dari sebelumnya.

Akhir kalam, biarpun Ramadan kali ini segala-galanya berbeza daripada sebelumnya, marilah kita menyambutnya dengan penuh ketakwaan.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!