Kemeriahan Kompleks PKNS Shah Alam dirindui

Kompleks PKNS Shah Alam. - Foto Internet
Kompleks PKNS Shah Alam. - Foto Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini amat sinonim dalam kalangan warga bandar raya ini dan sekitarnya sebagai ‘lubuk’ membeli-belah khususnya menjelang bulan Ramadan dan Syawal.

Masakan tidak, kompleks yang wujud sejak tahun 70-an itu antara tempat tumpuan ramai untuk mencari persiapan ‘mesra bajet’ untuk seisi keluarga menyambut lebaran sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah berbuka puasa di bazar Ramadan PKNS.

Saban tahun tatkala menjelang bulan Ramadan, Kompleks PKNS Shah Alam pasti meriah dengan ratusan gerai yang menawarkan kelengkapan Aidilfitri bagi memudahkan pengunjung membuat persiapan awal menyambut perayaan tersebut.

Kemeriahan itu diikuti dengan penganjuran bazar Ramadan di pekarangan kompleks berkenaan yang menawarkan pelbagai juadah kepada pengunjung untuk berbuka puasa sambil membeli-belah.

Bagaimanapun, kemeriahan di Kompleks PKNS itu tidak dirasai tahun ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

PKNS sebelum ini mengumumkan penutupan hampir kesemua premis perniagaan di kompleks itu kecuali perkhidmatan penting seperti perbankan, peruncitan dan restoran makanan segera sebagai mematuhi PKP dan larangan penganjuran bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Tinjauan Bernama mendapati, kompleks perniagaan yang boleh disifatkan sebagai ‘ikonik’ kepada warga Shah Alam kini lengang dan hanya kelihatan pengawal keselamatan bertugas selain orang awam mengeluarkan wang di bank atau membungkus makanan di restoran yang dibenarkan beroperasi.

Warga Shah Alam dan kawasan sekitarnya yang ditemui menyifatkan kemeriahan suasana di kompleks itu terutamanya menjelang Aidilfitri sejak puluhan tahun lepas amat dirindui.

Artikel Berkaitan:

Bagi Noraida Haroun, 59, yang menetap di bandar raya ini sejak 30 tahun lepas, dia serta keluarganya sering mengunjungi kompleks berkenaan khususnya menjelang Syawal bagi merasai ‘aura’ kedatangan lebaran.

Namun katanya, keadaan semasa negara yang dilanda pandemik Covid-19 pasti menerbitkan rasa rindu terhadap kemeriahan di Kompleks PKNS Shah Alam yang tidak pernah terlepas untuk dikunjungi sejak puluhan tahun lalu.

“Setiap kali bulan puasa dan nak raya, kami sekeluarga gemar berkunjung ke Kompleks PKNS untuk membeli biskut raya dan melihat-lihat barangan yang ditawarkan di sini. Ada masanya bukan nak membeli sangat, cuma rasa seronok dengan kemeriahannya,” katanya kepada Bernama.

Noorlina Izyan Abdul Rahim, 36, turut tidak pernah melepaskan peluang untuk mengunjungi kompleks itu bagi membeli juadah berbuka puasa dan kelengkapan Aidilfitri untuk keluarganya walaupun menetap di Subang Jaya.

Menurutnya, kemeriahan suasana di kompleks itu pasti dirindui tahun ini dan mengharapkan wabak Covid-19 dapat segera ditangani supaya orang ramai boleh kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!