Rindu suasana tarawih di Makkah
SHAH ALAM - Tugas membawa jemaah umrah mengerjakan solat sunat tarawih berjemaah di masjid berimamkan imam yang disegani di Makkah dan Madinah menjadi pengalaman yang paling dirindui ramai mutawif apabila peluang itu tidak dapat dirasai pada Ramadan kali ini.
Mutawif daripada Azzuha Group Travel & Tours, Ashraf Yazid, 34, berkata, jemaah dapat merasai solat tarawih yang mendamaikan kerana alunan ayat suci al-Quran imam yang penuh khusyuk dan merdu.
“Walaupun ada solat tarawih yang dikerjakan 20 rakaat, tapi bagi mereka yang menghafal dan memahami maksud ayat, tidak terasa solat itu lama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, mengerjakan ibadah umrah pada bulan puasa juga membolehkan jemaah dan mutawif melihat sendiri sikap pemurah orang Islam kerana setiap hari masjid menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang ramai.
“Selain itu, pada bulan puasa juga ramai jemaah ambil peluang untuk beriktikaf dan tidur di masjid sebelum bangun daripada tidur sekitar jam 3 pagi untuk qiamullail.
“Melaksanakan ibadah umrah pada Ramadan ini sangat istimewa kerana hadis Nabi Muhammad SAW sendiri menyebut pahala mengerjakan ibadah umrah pada bulan puasa menyamai pahala mengerjakan ibadah haji,” katanya.
Sementara itu, mutawif daripada Rayhar Travels, Mohd Johari Othman, 37, berkata, selain solat tarawih, apa yang paling dirinduinya adalah suasana 10 malam terakhir di Makkah dan Madinah.
“Apa yang luar biasa, meskipun situasi di masjid nampak sesak tetapi ada sahaja ruang yang kosong untuk kita beribadah.
“Biasanya pada 10 malam terakhir Ramadan juga jemaah akan khatam al-Quran banyak kali,” katanya.
Tambahnya, kenangan yang tidak dapat dilupakan juga adalah menjamah menu berbuka puasa berupa nasi berlaukkan daging anak unta atau dipanggil asyhi yang disedekahkan orang Arab.
“Nasi anak unta ini adalah antara menu istimewa di sana ketika Ramadan. Ramai orang Arab bersedekah ketika Ramadan dengan kebanyakan mereka memberi makanan untuk berbuka puasa.
“Sepatutnya awal Ramadan tahun ini saya berada di sana mengendalikan jemaah umrah. Jadi sama-sama kita berdoa agar wabak Covid-19 ini segera berakhir supaya umat Islam dapat laksanakan ibadah umrah dan haji seperti biasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi mutawif daripada Azzuha Group & Travel Tours, Abdul Hadi Raman, 34, memberitahu, jika di Malaysia ramai yang berlumba-lumba berniaga pada bulan Ramadan namun di Makkah dan Madinah situasi berbeza dapat dilihat kerana orang di sana berlumba-lumba bersedekah.
“Setiap inci Masjid Nabawi dan Masjidil Haram itu telah ditempatkan oleh pihak korporat, badan bukan kerajaan atau individu untuk dijadikan tempat mereka letakkan makanan sedekah mereka malah ada yang berebut tapak untuk bersedekah,” katanya.
Kejar nikmat 10 malam terakhir Ramadan
Kenangan menunaikan umrah ketika bulan puasa merupakan detik yang indah dan sangat berharga khususnya individu yang sering menjadikan amalan tersebut sebagai rutin setiap tahun.
Seorang ahli perniagaan, Mohd Kasarudin Suudi, 37, berkata, dia dan beberapa rakan sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada 9 Mei depan, namun reda dengan arahan pembatalan umrah kali ini berikutan penularan Covid-19 di seluruh dunia.
Berkongsi pengalaman ketika mengerjakan umrah pada bulan Ramadan, katanya, rutin tersebut dilakukannya sejak tahun 2012 dan kebiasaannya dia berada di sana pada 10 malam terakhir.
“Kami tidur dalam empat hingga lima jam sahaja kerana sepanjang malam kita fokus dengan ibadah bersama jutaan manusia.
“Waktu berbuka puasa di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah suasana sangat istimewa yang tidak akan dapat dirasai di tempat lain. Pengalaman itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Selepas Isyak, kemudian tarawih sampai jam 11 malam dan sambung pula dengan qiamullail pada jam 12.45 tengah malam hingga 2.30 pagi sebelum balik hotel untuk bersahur dan solat Subuh,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Mohd Ghazali Zainal Abiddin, 46, yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau akan menonton siaran langsung solat tarawih di televisyen atau media sosial bagi mengubati kerinduan pada tanah suci.Beliau berkata, suasana menunaikan umrah pada bulan Ramadan berbeza berbanding pada bulan-bulan biasa.
“Kita tidak perlu bimbang hendak cari makanan berbuka puasa kerana sebelum kita sempat buka kasut, sudah ada yang menunggu dan membawa kita ke tempat duduk untuk berbuka.
“Kalau di Malaysia, kita akan berpusu-pusu ke bazar Ramadan tetapi di sana, kita lihat orang yang berkemampuan akan ke kedai beli barang untuk disedekahkan,” katanya.
Mohd Ghazali berkata, meskipun imam solat tarawih di tanah suci membaca sebanyak satu juzuk sehari namun makmum tidak merasa lama kerana ayat-ayat al-Quran itu dibaca dengan penuh khusyuk dan tawaduk.
Menurutnya, beliau dan dua rakan sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada 30 April ini, namun beliau yakin ada hikmah di sebalik pembatalan umrah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!