Pemain bass Bloodshed, Joe Bass meninggal dunia

SHAH ALAM – Kumpulan rock tanah air, Bloodshed menerusi hantaran rasmi di laman Facebook mereka mengesahkan pemergian pemain bass kumpulan berkenaan, Allahyarham Mohamad Abdul Wahap atau lebih dikenali sebagai Joe Bass.
Allahyarham yang terkenal menerusi penglibatannya sebagai bassist kumpulan itu untuk single Manifestasi Cinta telah kembali ke rahmatullah pada 24 Oktober 2026 bersamaan 12 Jamadilawal 1448H.
"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Joe Bass (Bassist Bloodshed Single Manifestasi Cinta) yang telah kembali kerahmatullah pada 24 Oktober 2026 bersamaan 12 Jamadilawal 1448H.
"Semoga diampunkan dosa-dosa arwah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," petik hantaran yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Bloodshet pada Ahad.
Allahyarham dilahirkan pada tahun 1963 dan meninggal dunia pada usia 63 tahun.
Terdahulu, media tempatan termasuk Buletin TV3 melaporkan Allahyarham Joe dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika membuat persiapan untuk sesi persembahan busking di sebuah kedai makan di Temerloh, Pahang pada Sabtu malam.
Menurut laporan berkenaan, insiden berlaku secara tiba-tiba sebelum Allahyarham bersama rakan-rakan pemuziknya sempat memulakan persembahan santai di premis berkenaan.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi urusan rasmi pihak hospital dan tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

