Filem Korea sarat mesej tersendiri
Sejak fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan, Merak Jalanan berpeluang menonton beberapa filem menerusi perkhidmatan televisyen digital Astro.
Baru-baru ini, Merak Jalanan menonton filem My Boss, My Teacher di saluran tvN Movies. Sesiapa yang menonton filem itu pastinya tak akan kering gusi melihat hasil garapan pengarahnya, Kim Dong-won.
Ia mengisahkan Gae Doo-shik (lakonan Jung Joon-ho), orang kanan kumpulan gengster D-Dog di Korea Selatan yang mempunyai impian untuk kembali ke bangku sekolah, tetapi bukan sebagai pelajar sebaliknya menjadi guru!
Sepanjang bergelar guru di sekolah menengah itu, pelbagai babak mencuit hati berlaku tetapi bagi Merak Jalanan, itulah gambaran sebenar alam persekolahan.
Pelajar nakal mengusik pelajar lain, dihukum berdiri di tiang bendera oleh guru dan beratur di hadapan bilik pengetua adalah situasi biasa ketika menjadi pelajar.
Watak lakonan pelakon kacak, Jung Joon-ho benar- benar serasi apabila bergabung dengan Kim Sang-joong yang memainkan watak ketua kumpulan D-Dog bernama Oh Sang-jung.
Jalan cerita filem itu bertambah rancak apabila si ketua gengster bersama dua pengikutnya turut mendaftar di sekolah sama dan menjadi pelajar Doo-shik.
Masa ini, Merak Jalanan jamin suis ketawa anda tidak akan berhenti berbunyi dan anda tidak akan berganjak dari kerusi sehingga tamat cerita.
Bagaimana agaknya jika anda ditakdirkan menjadi guru kepada ketua anda di pejabat? Bagaimana anda ingin menghukum ketua anda itu?
Sebenarnya, moral daripada filem ini adalah bagaimana kita ingin menegur orang lain agar tidak membuat kesilapan yang pernah kita lalui.
Selain itu, ia juga sarat dengan mesej tentang adab guru dan pelajarnya. Jika anda belum menontonnya, lepas ini bolehlah cari dan menonton!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!