Empat kaum lawan, pilih siapa?

No Image Caption
A
A
A

SEBUT sahaja politik Malaysia, ada dua faktor yang semua orang terpaksa mengakui bahawa ia adalah penentu segala-galanya. Dua faktor yang dimaksudkan ini ialah kaum dan agama.

Sejak negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, seluruh rakyat yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama hidup dengan aman dan harmoni. Perpaduan yang utuh menjadikan negara kita cukup unik dan menjadi contoh kepada dunia luar.

Bagaimanapun, langit tidak selalu cerah. Persefahaman antara tiga kaum utama, Melayu, Cina, India serta kaum-kaum yang menjadi minoriti seperti Orang Asli, Sikh, Kadazan, Iban dan sebagainya sesekali tercalar akibat dicemari insiden-insiden yang kurang menyenangkan.

Ini kerap berlaku dalam pilihanraya atau perhimpunan parti. Demi meraih sokongan, pemimpin-pemimpin parti berceramah bagaikan sang hero untuk kaumnya.

Mereka seperti sengaja melemparkan kata-kata penuh emosi sehingga mengguris perasaan kaum lain.

Dengan kata lain, yang mencetuskan suasana tegang antara kaum sebenarnya bukan sahaja rakyat biasa, tetapi pemimpin politik yang ghairah memburu populariti juga patut dipersalahkan.

Ahli-ahli politik ini sedar mereka akan mudah menjadi pujaan dan sanjungan lebih-lebih lagi apabila memperjuangkan hak dan kepentingan untuk kaumnya.

Tidak dinafikan wajah politik Malaysia masih dan akan terus berlandaskan politik perkauman dan agama.

Artikel Berkaitan:

PRK Cameron Highlands yang sedang berlangsung ketika ini menyaksikan pertembungan empat calon ini diibarat Satu Malaysia. Ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Bertambah menarik lagi dua kaum utama, Melayu dan Cina sekadar sebagai calon Bebas, manakala India dan Orang Asli sebaliknya menjadi watak utama dalam pertandingan kali ini.

Jumlah pemilih yang berdaftar bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah 32,105 orang. Mengikut pecahan kaum, Melayu (10,752 atau 33.49 peratus); Cina (9,467 atau 29.49 peratus); Orang Asli (7,050 atau 21.95 peratus) dan India (4,836 atau 15.06 peratus).

Jarang sekali kita dapat melihat jumlah pengundi Orang Asli begitu tinggi sekali sehingga melebihi pengundi India. Jelas sekali, trend pengundi Orang Asli pastinya menjadi tumpuan.

Kebijaksanaan pengundi Cameron Highlands kini diuji. Jika mahu sokong BN, mereka perlu pilih Orang Asli yang bernama Ramli Mohd Nor.

Sekali lagi terbukti, faktor kaum diambil kira oleh BN. Dengan harapan bergantung kepada kira-kira 22 peratus Orang Asli,BN yakin kerusi Parlimen ini kekal milik mereka.

Selain BN diwakili Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis di Bukit Aman, tiga calon lain ialah M Manogaran daripada PH; Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee, kedua-duanya calon Bebas.

Di atas kertas, sudah dapat dijangkakan, kedua-dua calon Bebas ini tidak mampu melakukan sebarang kejutan.

Kini saingan antara BN dan PH. Orang Asli dari BN yang berusaha mempertahankan kerusi yang ditinggalkan oleh bekas Ahli Parlimennya, Datuk C Sivarraajh dicabar oleh Manogaran yang kalah kepada Sivarraajh pada PRU lalu.

Antara mereka, siapakah pilihan hati pengundi Cameron Highlands?

Soal kaum seperti tidak terlalu menghantui fikiran dan pertimbangan pengundi Cameron Highlands yang akan keluar memilih wakil rakyat mereka pada 26 Januari ini.

Pertembungan antara parti dengan parti jauh lebih penting daripada berbicarakan tentang apakah kaum yang patut diundi.

Pengundi Cameron Highlands seharusnya bertanya calon daripada parti manakah yang mampu menjanjikan masa depan kepada mereka. Kewibawaan calon mesti menjadi ukuran utama.

Pengundi Cameron Highlands tentu akan rasa gembira dan bertuah sekiranya wakil rakyat yang dipilih nanti adalah wakil rakyat yang bekerja bukan untuk satu-satunya kaum sahaja, tetapi semua kaum yang tinggal di situ.

PRK Cameron Highlands mungkin boleh membuka lembaran baharu politik Malaysia apabila semua pemimpin politik dan rakyat sudah mulai menolak politik berasaskan kaum dan agama.

Dengan mengapi-apikan isu kaum dan agama, ia bukan sahaja menghalang rakyat untuk bersatu-padu, malah akan menyebabkan suasana politik Malaysia kotor dan menjijikkan!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!