Covid-19: Suami isteri terlibat kes penipuan sumbangan ditahan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LANGKAWI - Polis menahan sepasang suami isteri disyaki terlibat dalam kes penipuan kutipan sumbangan Covid-19 yang kononnya untuk disalurkan kepada penduduk Bukit Malut di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata pasangan yang berasal dari Selangor itu telah mengambil maklumat beberapa orang penduduk serta membuat hantaran di Facebook pada Selasa memohon sumbangan kononnya untuk 100 penduduk di Bukit Malut yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata polis kemudiannya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi memaklumkan mengenai pasangan suami isteri berusia 33 dan 27 tahun itu dikesan membuat kutipan tanpa melalui jabatan itu.

"Hasil laporan oleh JKM Langkawi itu, polis telah menahan pasangan suami isteri tersebut pada 1.13 tengah hari di Bukit Malut. Mereka juga mengaku telah menerima sumbangan namun masih belum menyampaikan sumbangan tersebut kepada penduduk di Bukit Malut dan Taman Nilam.

"Selain disyaki terlibat kes penipuan, pasangan itu juga didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berada di Bukit Malut tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini.

Kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020", katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!