Kapal tangki minyak terbakar terkena periuk api laut di Selat Hormuz

ISTANBUL - Sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api laut di timur Selat Hormuz, menurut kenyataan Tentera Laut Iran yang dipetik agensi berita rasmi negara itu, IRNA.
Tentera Laut Iran mendakwa kapal berkenaan mematikan sistem pengesanannya sebelum cuba melalui kawasan yang disifatkan sebagai terhad dan tidak selamat.
Menurut kenyataan itu, kapal berkenaan mengalami kerosakan dan terbakar akibat insiden terbabit.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran tidak mendedahkan identiti kapal tangki itu, negara benderanya, jumlah anak kapal atau kemungkinan korban dalam kejadian berkenaan.
"Selat Hormuz kekal tidak selamat dan ditutup kepada kapal yang cuba melaluinya tanpa penyelarasan terlebih dahulu.
"Kapal yang ingin melalui laluan itu dengan selamat perlu menyelaraskan perjalanan dengan Angkatan Tentera Iran," katanya pada Selasa.
Insiden itu berlaku ketika usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menamatkan konflik membabitkan Iran dan Amerika Syarikat (AS), dengan beberapa negara serantau berusaha memudah cara rundingan serta mengurangkan ketegangan.
Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Iran turut meneruskan hubungan diplomatik berkaitan keselamatan serantau, termasuk perbincangan bagi meredakan ketegangan dan menyokong usaha mencapai penyelesaian berkekalan.
Washington dan Teheran dilaporkan menandatangani memorandum persefahaman pada Jun lalu sebelum memulakan rundingan yang kemudiannya menemui jalan buntu susulan perselisihan mengenai pelayaran di Selat Hormuz.
Selat itu merupakan laluan strategik bagi penghantaran bekalan tenaga dan barangan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
