Polis Johor perlukan lebih banyak PPE, topeng muka
JOHOR BAHRU - Polis Johor memerlukan lebih banyak peralatan perlindungan diri (PPE), topeng muka serta sarung tangan untuk kegunaan pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, peralatan seperti PPE, topeng muka dan sarung tangan amat penting bagi memastikan pegawai dan anggota di lapangan tidak terdedah dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, bekalan peralatan itu bagaimanapun mencukupi, namun mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan peralatan itu kepada pasukan Polis Johor.
"Kita terima 102 kes mati mengejut (SDR) yang mana pegawai-pegawai polis yang akan sampai ke tempat kejadian lebih awal sebelum pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka perlu pakai pakaian PPE untuk menyiasat kes seperti ini.
"Kita tidak tahu mangsa yang SDR ini sama ada ada terkena jangkitan Covid-19 atau tidak.
"Pegawai dan anggota kita juga berdepan risiko terdedah penyakit ini apabila bertugas mengiringi pesalah-pesalah dari lokap ke penjara dan sebagainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, seramai 31 pegawai dan anggota yang bertugas di salah sebuah balai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara terpaksa dikuarantin susulan salah seorang suspek yang dibawa ke penjara mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19.
Jelasnya, sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, lebih 100 pegawai dan anggota dikuarantin selepas mempunyai kontak dengan pesakit yang positif, namun selepas ujian saringan dijalankan mendapati mereka negatif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!