Perak sedia makanan sahur untuk petugas barisan hadapan
IPOH - Kerajaan Perak akan membekalkan makanan sahur kepada petugas-petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, agihan makanan itu akan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negeri.
Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, adalah sukar untuk petugas mendapatkan makanan ketika sahur memandangkan tiada restoran yang dibenarkan beroperasi.
"Saya telah minta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin usahakan menyediakan makanan kepada petugas-petugas yang terkesan ketika waktu sahur.
"Kita sedar dalam tempoh PKP ini, tidak ada restoran yang dibuka. Jadi, untuk membantu petugas yang mungkin sedang merawat pesakit di hospital dan sebagainya, kita edarkan makanan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas melawat Ipoh Central Kitchen (ICK) di Restoran Simpang Tiga di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, Ahmad Fazial turut melancarkan Ramadan e-Village iaitu konsep baharu jualan juadah berbuka secara dalam talian yang menggabungkan 35 pengusaha makanan di sebuah restoran iaitu Restoran Simpang Tiga.
Usaha berkenaan digerakkan empat sahabat Mohammad Iskandar Abdul Rahman,43; Azlan Mohamed Saaid,56; Mohd Hussain Pak Wan, 60, dan Ahmad Sobree Abbas,35, lanjutan daripada projek ICK yang membekalkan makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan di Perak sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Sementara itu, Mohammad Iskandar selaku Koordinator ICK berkata, konsep diketengahkan itu untuk memberi peluang kepada pengusaha yang mahu menjual juadah berbuka, namun tidak mempunyai tempat untuk berbuat demikian.
"Kita telah sediakan 12 gerai kecil di restoran ini dan setakat ini terdapat lebih 100 menu makanan telah tersedia untuk dijual bermula esok.
"Orang ramai boleh membuat pesanan melalui Facebook Ipoh Central Kitchen bermula jam 2 petang setelah itu mereka boleh memilih sama ada datang sendiri ke sini untuk bawa pulang atau menggunakan khidmat penghantaran yang disediakan," katanya.
Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini juga, ICK akan mengedarkan makanan berbuka kepada petugas-petugas barisan hadapan di sekitar Ipoh dan Kampar.
"Sebelum ini, kita sediakan 1,200 hingga 1,500 pek makanan tengah hari sehari untuk mereka, memandangkan tiba Ramadan, kita sediakan pula juadah berbuka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!