Kolam ikan keli punca pencemaran Sungai Selangor diroboh
SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan meroboh struktur premis kolam ikan yang menyebabkan henti tugas di tiga Loji Pembersihan Air (LPA) SSP1, SSP2 dan SSP3 pada 16 April lalu.
Operasi yang dijalankan pada 20 April lalu itu melibatkan 80 anggota dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Pengurusan Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi satu kenyataan hari ini, LUAS berkata, sebanyak tiga struktur binaan dirobohkan dalam operasi itu termasuk bangsal pengumpulan ikan, stor simpanan barang dan tempat pemprosesan ikan.
"Kira-kira 15 kolam penternakan ikan keli dibina oleh pemilik premis tetapi hanya 14 daripadanya masih aktif," katanya.
Sebelum ini, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di tujuh wilayah termasuk Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.
Mengulas lanjut, LUAS berkata, pihaknya telah mengeluarkan Perintah Perlindungan Sumber Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik premis berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja kawalan pencemaran serta pemulihan di tapak kolam ikan bagi tempoh lapan hari bermula 22 April.
"Pada masa yang sama, LUAS dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memantau kerja-kerja pemulihan kualiti air kolam tersebut di tapak yang meliputi rawatan melalui kaedah pencairan air kolam dan menggunakan activated carbon (AC)," katanya.
Buat masa ini LUAS berkata, keadaan di kawasan berkenaan terkawal dan pihaknya telah menempatkan pegawai untuk pemantauan bagi tempoh 24 jam bersama penguat kuasa.
"Semua agensi terlibat juga bersedia menangani insiden pencemaran dengan segera dan berusaha mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!