Pengawal keselamatan didakwa pukul isteri dengan topi keledar
PETALING JAYA - Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya menggunakan topi keledar minggu lepas.
Mohd Azhar Johari, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap isterinya berusia 31 tahun di sebuah apartmen di Damansara Damai, di sini, pada jam10.30 malam, 16 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana tiada penjamin yang hadir di mahkamah.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!