Jangan risau, tarawih sangat senang, kata PU Azman

Instagram PU Azman menarik perhatian netizen.
Instagram PU Azman menarik perhatian netizen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak dinafikan ramai individu khususnya umat Islam meluahkan rasa bimbang terhadap tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga bulan Ramadan.

Pelbagai persoalan timbul terutama berkaitan solat tarawih berikutan larangan kerajaan untuk mengadakan solat tarawih berjemaah di masjid di seluruh negara bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).

Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias berkongsi pandangannya terhadap solat tarawih yang bakal dilaksanakan esok, hari pertama Ramadan, di Instagram miliknya.

Beliau menjelaskan, solat tarawih mudah dilaksanakan kerana rukun solat tarawih sama seperti rukun solat lima waktu.

"Jangan risau, tarawih sangat senang. Korang (anda) buat sahaja (dua, dua) rakaat macam biasa. Rukun solat tarawih, sama macam rukun solat 5 waktu.

"Lepas baca al-Fatihah, baca sebarang surah yang hafal. Kalau lepas al-Fatihah terus rukuk sebab tak hafal surah tak apa.

"Sebarang bacaan sebelum dan selepas tarawih tak wajib. Jangan gelabah kalau tak hafal, tarawih tetap sempurna," tulisnya.

Tambahnya, perkongsian tersebut bukan bermaksud beliau mengambil mudah tentang solat itu sebaliknya mahu memberi kefahaman kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Jangan salah faham, Cik Man (Azman) bukan meremehkan tarawih tapi nak bagi faham tentang surah yang tak hafal, sebenarnya tak membatalkan tarawih. Ya ALLAH senangnya tarawih," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, perkongsian maklumat yang berbentuk santai itu menarik perhatian netizen yang rata-ratanya berasa lega dan mengucapkan terima kasih di atas pencerahan berkaitan solat tarawih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!