Sultan, Sultanah Kedah berkenan kurnia bantuan zakat
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff hari ini berkenan mengurniakan bantuan zakat sebanyak RM16.91 juta sempena bulan Ramadan.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda selaku ulil amri yang bertanggungjawab memegang amanah urusan kutipan dan agihan zakat di Kedah berkenan menyegerakan bantuan zakat kepada penerima.
Titahnya, bantuan sebanyak RM16.91 juta akan diagihkan sepanjang bulan Ramadan demi membolehkan penerima menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan meraikan Syawal dengan ceria, walaupun suasana Hari Raya Aidilfitri kali ini dijangka berbeza berbanding sebelumnya akibat wabak koronovirus (Covid-19).
"Sehubungan itu, baginda perkenan supaya bayaran bantuan kewangan bulanan pada bulan Mei dan bantuan hari raya kepada golongan asnaf yang terdiri daripada fakir dan miskin diawalkan.
"Bayaran bantuan kewangan bulanan melibatkan RM4.007 juta kepada 15,602 orang fakir dan miskin akan diberikan seminggu lebih awal memandangkan tarikh bayaran sepatutnya dijangka jatuh pada Hari Raya Aidilfitri," titah baginda.
Titah ucapan baginda dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim selepas Majlis Penyerahan Bantuan sempena bulan Ramadan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut disaksikan Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman.
Sultan Sallehuddin turut bertitah supaya bantuan kepada 11,050 guru agama diawalkan dan dibuat pada minggu pertama Ramadan membabitkan peruntukan sebanyak RM4.42 juta demi membolehkan persediaan sewajarnya untuk menyambut hari lebaran.
Baginda turut melahirkan rasa keprihatinan dengan anak-anak Kedah yang sedang menyambung pengajian di luar negara dan tidak mendapat sebarang tajaan biasiswa atau dermasiswa mahupun pinjaman daripada mana-mana pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bagi tujuan itu, sebanyak RM750,000 wang zakat diperuntukkan untuk diagihkan secara ‘one off’ kepada pelajar berkenaan bermula pertengahan Ramadan," titah baginda.
Katanya, seramai 1,381 tenaga pengajar dan pelajar pondok serta tahfiz di seluruh Kedah turut tidak terkecuali apabila agihan bekalan makanan akan diagihkan kepada mereka pada pertengahan bulan puasa yang bernilai RM82,860.
Titah baginda, baki daripada peruntukan keseluruhan zakat sebanyak RM16.91 juta itu pula merupakan kos tambahan bagi penyediaan ‘Food Bank’ atau program Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin di bawah kendalian LZNK sepanjang bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.
Baginda berharap bantuan-bantuan tersebut dapat meringankan beban penerima apatah lagi ibadah puasa tahun ini disambut ketika negara sedang berdepan wabak Covid-19 dan berada di bawah arahan PKP sejak 18 Mac lalu.
Sultan Sallehuddin turut menyeru syarikat-syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu-individu perseorangan yang memiliki kemampuan dan lebihan harta supaya dapat menaksir zakat masing-masing dengan tepat.
"Selepas itu, pembayaran zakat (ta’jil zakat) untuk tahun ini disegerakan bagi tujuan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan khususnya golongan asnaf yang terjejas dengan wabak Covid-19," titah Sultan Sallehuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!