MPSJ wajibkan pengusaha, penghantar makanan daftar dalam talian
SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mewajibkan semua pengendali, pengusaha makanan dalam talian dan penghantar makanan mendaftarkan operasi perniagaan mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, peraturan itu diputuskan selaras arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 17 April lalu dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007.
Menurutnya, kesemua mereka perlu mengisi borang di pautan yang diwujudkan.
“Pengendali dan pengusaha makanan di kawasan MPSJ perlu mengisi borang di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdpe_jjnXw7Bux-UW7Z3SSvC_G5JzUqQTDoWaV4Aq-XwfS_XA/viewform?usp=sf_link.
“Penghantar makanan pula perlu mengisi borang disediakan di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdxiAf045gWbw6H7CEIpaZZZwkJET2qC0v CS1OmmMFWFQIYDg/viewform?usp=sf_link,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noraini berkata, pengendali dan pengusaha makanan di kawasan MPSJ perlu menggunakan khidmat penghantar yang berkhidmat dengan syarikat e-hailing atau penghantaran makanan persendirian.
Menurutnya, mereka boleh menggunakan sebarang platform yang ada di media sosial untuk mempromosikan perniagaan masing-masing.
Tambahnya, penghantar makanan pula tertakluk kepada peraturan penghantaran iaitu 10 kilometer (km) radius daripada kawasan operasi.
“Setiap penghantar makanan akan dibekalkan pas khas kebenaran penghantar makanan MPSJ. Bayaran RM10 akan dikenakan semasa pengambilan pas bermula hari ini hingga Khamis depan.
“Pengendali, pengusaha dan penghantar makanan diwajibkan membuat suntikan typhoid dan kos adalah di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berkata, masa operasi yang ditetapkan adalah bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.
Terdahulu, beliau berkata, bazar Ramadan secara konvensional, 'drive thru', 'walk thru', bungkus dan bawa balik (take away) adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Katanya, jualan makanan di tepi jalan, warung, medan selera, 'food truck' juga tidak dibenarkan.
“Jualan makanan secara bungkus dan bawa balik yang dibenarkan adalah di premis makanan berbentuk restoran sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!