Pulau Pinang peruntuk RM100,000 bantu pekerja asing

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu pekerja asing yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengarah Komunikasi Penang Lawan Covid-19, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan itu disalurkan melalui beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan warga asing termasuk pelarian komuniti Rohingya di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) bagi memastikan kebajikan pekerja asing terbela dan diberi makanan yang mencukupi dalam tempoh PKP.

"Sejak awal lagi kerajaan negeri memang mengambil kira komuniti pekerja asing dan pelarian yang berada di Pulau Pinang.

"Walaupun isu ini agak sensitif, tetapi sekiranya kita tidak menjaga kebajikan dan kesihatan mereka mungkin akan wujud kluster pekerja asing seperti yang berlaku di Singapura boleh menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini," katanya menerusi sesi siaran langsung Facebook malam tadi.

Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan penempatan pekerja asing di negeri ini juga melaksanakan langkah-langkah kesihatan bagi pencegahan wabak Covid-19.

Selain itu, katanya pekerja asing yang terlibat dalam sektor perkhidmatan penting juga diingatkan agar mengambil langkah pencegahan seperti sentiasa memakai penutup hidung dan mulut selain perlu mengamalkan penjarakan sosial walau di mana berada.

"Virus ini tidak membezakan warga migran, rakyat Malaysia, bukan Malaysia, Melayu, Cina dan India. Bila seorang dah kena, semua orang terdedah kepada ancaman ini.

Artikel Berkaitan:

"Keselamatan Malaysia bergantung kepada setiap negeri. Keselamatan masyarakat bergantung kepada keselamatan individu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!