Daging lembu sado 800kg habis dijual!
KUALA NERUS - Lembu sado jantan daripada baka Charolais seberat hampir satu tan disembelih sempena Jualan Prihatin Covid-19 anjuran Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRNT) di sini hari ini.
Proses penyembelihan di Kompleks Abatoir Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu itu disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Azman yang ditemui di pusat penyembelihan itu di sini berkata, daging lembu berusia dua tahun yang berharga RM15,000 itu telah habis ditempah lebih awal sebelum ia disembelih di pusat penyembelihan itu.
"Lembu seberat 800 kilogram (kg) ini milik seorang ahli persatuan PPRNT di mana dagingnya dijual pada harga RM25 sekilogram dan tulang pula dijual RM20 sekilogram.
"Secara keseluruhan, nilai jualan sebanyak RM10,000 kerana ia lebih murah berbanding harga pasaran RM30.
"Kadar harga jualan ini diputuskan oleh pemilik lembu ini sendiri untuk membuat sedikit kebajikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!