Dompet tertinggal, 'uncle' tunggu pemilik datang

Hantaran Hasanul menerusi Facebook miliknya
Hantaran Hasanul menerusi Facebook miliknya
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] "Dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini memang saya susah hati jika betul dompet saya tidak dapat dijumpai semalam."

Namun keresahan seorang peniaga kereta import di sini, Hasanul Hafiz, 48, tidak lama selepas seorang warga emas bertindak memulangkan dompet miliknya tercicir di dalam tandas sebuah stesen minyak di bandar Mentakab.

Dompet yang mengandungi wang tunai dan dokumen penting ditemui S.Devarajah, 60, di tepi sinki tandas tersebut.

"Pagi semalam dalam jam 8.30 pagi saya ada urusan bank di bandar Mentakab dan ketika sedang menunggu bank buka, saya ke tandas di stesen minyak berhampiran bank itu.

"Saya hanya tersedar dompet saya tiada setengah jam kemudian. Saya bergegas masuk ke dalam tandas itu tapi dompet dah tiada.

"Ketika sedang termenung fikir nasib diri, seorang lelaki India menegur saya dan bertanya kerana wajah saya nampak sangat gelisah. Selepas mengetahui masalah saya, dia terus keluarkan dompet dan tunjuk pada saya dan memang benar ia milik saya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Devarajah sanggup menunggunya di stesen minyak terbabit untuk memulangkan dompet tersebut.

"Tarik nafas lega bila dompet sudah ditemui, masa itu saya dah pening kepala memikirkan proses nak ganti baru semua dokumen dalam tempoh PKP selain wang yang hilang.

Artikel Berkaitan:

"Syukur dan rasa terharu dengan kejujuran pakcik Devarajah yang sanggup menunggu. Saya nak berikan sedikit imbuhan tapi dia menolak," ujarnya lagi.

Perkongsian Hasanul di Facebook miliknya tular semalam dan kejujuran warga emas itu mendapat pujian netizen.

Sementara itu, Devarajah memberitahu, dia sanggup menunggu pemilik dompet itu kerana sedar dengan kesukaran yang dihadapi terutamanya pada musim PKP.

"Saya rasa ini satu tanggungjawab untuk membantu mereka yang sedang susah dan memang saya tidak tahu siapa pemiliknya kerana langsung tidak buka dompet itu.

"Saya dah fikir nak tunggu beberapa jam lagi dan kalau tidak jumpa pemilliknya juga akan hantar ke balai polis berhampiran.

"Dan saya sendiri tidak menjangka ramai yang berkongsi dan menanda gambar saya yang dimuat naik oleh Encik Hasanul pada Facebook milik anak sebab saya memang langsung tiada Facebook," kata bapa kepada dua anak lelaki dan dua perempuan itu lagi.

Tambah Hasanul, sebelum ini kira-kira lima tahun lalu dia pernah memulangkan dompet seorang pemuda yang ditemuinya.

"Dalam dompet itu selain dokumen penting, ada ribuan wang tunai yang dimaklumkan pemuda itu adalah wang belanja kahwinnya," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!