Lebih awal tolak ICERD lagi bagus: Pas

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menyambut baik penolakan kerajaan PH terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) bagaimanapun, menyatakan adalah lebih baik sekiranya ia dibantah lebih awal.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya Kerajaan PH bertindak tegas lebih awal, pastinya polemik dan kemelut ICERD ini tidak akan panas seperti yang terjadi hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, Pas senang dan mengalu-alukan keputusan bijak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan PH yang tidak akan meratifikasi ICERD.

"Pas menyambut baik keputusan kerajaan membantah ICERD dan mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri ini tetapi adalah lebih baik sekiranya kenyataan sebegini dikeluarkan lebih awal.

"Ini lepas dua minggu baru nak keluarkan kenyataan tolak ICERD, sudah timbul pelbagai reaksi rakyat," katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Ibrahim bagaimanapun memaklumkan himpunan tolak ICERD yang dijadual 8 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang namun format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantah ICERD.

"Himpunan akan diteruskan cuma kita tukar format dan lokasi. Format bantahan akan bertukar meraikan kesyukuran kejayaan rakyat menolak ICERD sehingga didengari kerajaan.

"Format himpunan 8 Disember ini akan menjurus kepada tanda terima kasih kepada kerajaan yang mendengar suara rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi pula mungkin akan di ubah ke Padang Merbok, bukannya Dataran Merdeka seperti dirancang sebelum ini. Bahkan, perarakan peserta di check-point tertentu juga akan dibatalkan, semua akan berhimpun di Padang Merbok yang akan diisi dengan majlis kesyukuran, doa rakyat dan ucapan pimpinan yang hadir," ujar beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menambah, himpunan itu terpaksa diteruskan kerana peserta telah membuat tempahan bas dan hotel.

"Masa terlalu singkat, jadi kita teruskan acara seperti direncanakan cuma ia bertukar format dan pengisian sahaja.

"Kenyataan rasmi bersama antara penganjur himpunan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD himpunan 8 Disember desak kata putus]

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!