Bekalan cukup hingga sembilan bulan
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan dan barang keperluan harian negara ini mencukupi sehingga tempoh sembilan bulan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, rakyat diminta tidak bimbang dan elak melakukan pembelian panik terutama ketika membeli keperluan Ramadan kerana bekalan sentiasa ada.
"Selain KPDNHEP setiap kementerian turut memainkan peranan masing-masing memastikan stok mencukupi bagi menjamin keperluan rakyat dan berdasarkan laporan diterima, kementerian berkaitan termasuk pertanian, alhamdulillah setakat ini stok yang ada mencukupi sehingga sembilan bulan,
"Begitu juga dengan ayam, telur dan sebagainya pun mencukupi kerana saya difahamkan mereka buat persiapan untuk raya tapi terganggu kerana (koronavirus) Covid-19. Jadi, barang kita seolah over supply sebab itu sekarang harga ayam lebih murah daripada sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan bekalan makanan dan keperluan sempena Ramadan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Menurutnya, KPDNHEP sentiasa memantau 25 jenis barang keperluan asas seperti beras, telur, gula, roti, bawang dan ayam sentiasa berada dalam pasaran dan dijual dengan harga berpatutan kepada pengguna.
Dalam pada itu katanya, KPDNHEP Terengganu melakukan 2,341 pemeriksaan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Sebanyak 112 aduan aduan pula diterima membabitkan kenaikan harga barang, kekurangan stok dan penipuan pembelian barang dalam talian. Aduan ini kita siasat berdasarkan data dan maklumat diberikan.
“Jadi, kita berharap pengguna yang mempunyai masalah tentang harga barang, kekurangan bekalan atau isu lain boleh membuat aduan atau bertemu dengan pegawai kita yang setiap hari ada di lapangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!