Perubahan waktu operasi pengangkutan awam sepanjang Ramadan
PUTRAJAYA - Pengangkutan awam di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan terlibat ialah LRT, MRT dan KL Monorail di bawah kendalian Rapid Rail Sdn Bhd, perkhidmatan bas di bawah kendalian Rapid Bus Sdn Bhd termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti Go KL dan Smart Selangor, semua bas pengantara serta semua jenis perkhidmatan tren di bawah kendalian KTMB.
"Frekuensi kekerapan bagi operasi perkhidmatan rel Rapid KL adalah setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak 25 Mac lepas, waktu operasi pengangkutan awam berkenaan dihadkan dari 6 pagi hingga 10 pagi dan dari 5 petang hingga 10 malam, serta tiada perkhidmatan antara jam 10 pagi hingga 5 petang, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP).
"Perubahan pada waktu operasi petang adalah bertujuan memudahkan perjalanan pengguna pengangkutan awam sepanjang bulan Ramadan dan menghormati para kakitangan khususnya yang beragama Islam dalam menjalani ibadah puasa," katanya.
Ka Siong berkata, perkhidmatan pengangkutan awam darat di Sabah dan Sarawak disyorkan untuk beroperasi berdasarkan jadual berkenaan, namun tertakluk kepada pertimbangan khusus daripada kerajaan negeri dalam mengambil kira kesesuaian di kedua-dua negeri tersebut.
Pengguna pengangkutan awam dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi PKP dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan berdepan pandemik Covid-19, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!