Beri peluang Ahli Parlimen dilantik pengerusi GLC bukti kemampuan

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat seharusnya memberi peluang kepada Ahli Parlimen kerajaan yang akan dilantik sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membuktikan kemampuan mereka sebelum membuat pelbagai andaian.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, adalah tidak adil apabila mengatakan Ahli Parlimen dari negeri ini yang dilantik pengerusi GLC tidak berwibawa dalam menjalankan tugas.

Tegasnya, pelantikan berkenaan juga merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan hak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Apa maksud tidak berwibawa? Dia (Ahli Parlimen) duduk di Kelantan ini sebagai wakil rakyat, bukan sebagai pengerusi apa-apa GLC. Ini baru kali pertama dilantik.

"Berilah peluang kepada mereka buktikan dulu. Peranan wakil rakyat dan mengendalikan GLC tidak sama. Mungkin mereka (netizen) komen berdasarkan pandangan tertentu.

"Contohnya, orang pantai timur anggap wakil rakyat macam pegawai kebajikan masyarakat. Tapi masyarakat di pantai barat mungkin tidak sama. Perspektif berbeza. Siapa nak komen, komenlah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk pakatan berkata, Ahli Parlimen Kerajaan yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi GLC.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mohd Amar berkata, tidak menjadi kesalahan melantik ahli politik menjadi pengerusi GLC di negara ini.

"Cuma dulu kita kritik Pakatan Harapan (PH) sebab mereka sudah janji, kalau mereka naik jadi pemerintah, mereka tidak akan lantik orang politik. Itu yang kita persoalkan balik. Kita pula tidak berjanji apa-apa sebagaimana mereka.

"Saya beri contoh Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, beliau dilantik menjadi menteri besar, boleh mentadbir dengan baik. Sebab kita ada pasukan yang boleh beri pandangan, profesional yang membantu.

"Sama juga dengan saya, mengaji agama sahaja, tapi dibantu banyak pihak. Semuanya baik saja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!