Sarawak perlu ikut garis panduan: Noor Hisham
PUTRAJAYA - Sarawak perlu mengikuti garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membenarkan operasi jualan makanan bagi perkhidmatan bawa pulang mulai 3 petang hingga 10 malam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua pihak perlu mematuhi garis panduan antaranya mengelakkan daripada perhimpunan dan kesesakan.
"Setiap negeri perlu ada cara masing-masing tetapi perlu ikut garis panduan KKM," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peniaga makanan dan semua hotel, restoran serta premis makanan segera dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang mulai 3 petang hingga 10 malam sepanjang bulan puasa.
Peniaga makanan dan pelanggan wajib mematuhi peraturan memakai topeng, mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan baik.
Pada 16 April lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang bentuk perniagaan yang berkaitan dengan bazar dan gerai Ramadan termasuk di dalam bentuk pandu lalu (drive-thru) dan tempah dan ambil (pack and pick) adalah tidak dibenarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!