Hujan lebat, empat kawasan dinaiki air di Jelutong
GEORGETOWN - Empat kawasan di kawasan Jelutong dinaiki air selepas hujan lebat selama sejam pada jam 4 petang tadi.
Kampung Dodol; Lintang P Ramlee, Jalan P Ramlee dan Kampung Masjid dinaiki air antara 0.1 hingga 0.3 meter.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, hujan lebat bermula jam 4 petang itu menyebabkan air naik dengan cepat melibatkan 25 unit rumah yang terletak di kawasan rendah.
Menurutnya, bacaan hujan di Stesen Bukit Bendera pula menunjukkan 54 milimeter (mm) sepanjang tempoh sejam itu.
"25 unit rumah terlibat, namun tiada pemindahan dilakukan. Punca banjir adalah disebabkan hujan lebat iaitu 54 mm dalam tempoh 60 minit.
"Langkah penyelesaian jangka pendek yang diambil adalah mengorek dan mendalamkan sungai, menjalankan kerja pembersihan serta penyelenggaraan bagi memastikan tiada halangan sistem saliran dan sungai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fadzil Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6 petang berhubung kejadian banjir di beberapa lokasi termasuk Jalan P Ramlee, Taman Free School dan Masjid Hashim Yahaya.
"Kami tiba di lokasi yang diberitahu empat minit kemudian dan mendapati air sedang melimpah ke jalan raya. Bagaimanapun, keadaan terkawal yang mana air semakin surut selepas sejam kemudian.
"Keadaan di lokasi terkawal namun kita masih memantau bagi memastikan keadaan tidak merbahaya kepada penduduk. Kita sentiasa bersiap sedia untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk. Penduduk dinasihatkan agar berhati-hati dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!