Guru kongsi detik cemas bersalin di parkir kereta
SOUTHAMPTON - Seorang guru menceritakan detik mendebarkan bagaimana dirinya melahirkan bayi di tempat letak kereta di sebuah pasar raya.
Hannah Howells dan suaminya Andy berasal dari Hamble, Hampshire sedang memandu menuju ke Hospital Princess Anne di Southampton pada 19 April.
Mereka menyedari bahawa mereka tidak akan tiba tepat pada waktunya lalu berhenti di tempat letak kereta Sainsbury's Local lalu suaminya melambai ke arah ambulans yang lalu di situ, namun ia tidak berhenti.
Suaminya kemudian membantu isterinya melahirkan bayi tersebut yang diberi nama Wilf.
Ambulans yang sama kembali dan paramedik membantu membawa ibu dan anak tersebut ke hospital untuk diperiksa.
"Saya berkata kepada suami bahawa bayi ini akan keluar semasa dalam kereta.
“Kami melihat ambulans datang, Andy cuba melambai tetapi mereka sangkakan kami bertepuk tangan kerana memuji kerja keras yang mereka sedang lakukan,” kata Hannah
Katanya, mereka kemudian menghubungi talian bersalin dan kemudian 999 sebelum seorang wanita menjawab panggilan berkenaan.
“Wilf ketika itu sudah keluar separuh daripada badannya ketika saya berada di tempat duduk hadapan kereta dan saya masih memakai tali pinggang keledar,” jelasnya.
Suaminya turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu termasuk Kellie Anne Blake, wanita yang menjawab panggilan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!