Jurutera perlu keluar dari zon selesa
BENARLAH pengalaman itu mematangkan seseorang atau organisasi. Sepanjang minggu ini, penulis menghabiskan masa meneliti dan mengupas beberapa artikel akhbar terkemuka dunia untuk mengetahui penyelesaian yang dilakukan di sesebuah negara dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19). Tatkala ada beberapa negara besar bergelut melawan Covid-19, ada pihak lain tenang menentang badai musibah.
Ambil contoh India yang memanfaatkan pengalaman tahun 2018 ketika melawan virus Nipah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji India kerana menyekat wabak Covid-19 menerusi Strategi Cegah Berkelompok atau Group Prevention Strategi (GPS) menyebabkan penyebaran pandemik menurun 40 peratus sepanjang tempoh 21 hari melibatkan lima negeri (Kerala, Odisha, Maharashtra, Rajashthan dan Uttar Pradesh).
Ketika virus Nipah menyerang India, negara itu memanfaatkan GPS ciptaan jurutera tempatan yang menghasilkan peta laluan atau road map menjejaki kontak jangkitan yang sukar dilaksanakan secara konvensional.
India memiliki kepadatan kawasan antara tertinggi di dunia iaitu 500 orang per kilometer persegi pada tahun 2019 dan dijangka meningkat kepada 1,400 orang pada 2020 berbanding Malaysia hanya 90 orang per kilometer persegi.
India juga menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) mudah alih dipanggil GoK Direct dibangunkan sekumpulan jurutera dan teknologis yang berjaya mengesan serta merekod aktiviti penduduk secara komprehensif sekali gus menghasilkan rangkaian data dipanggil CoronaSafe.
Inilah masanya jurutera di Malaysia berganding bahu membantu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melawan Covid-19.
Jurutera di Malaysia mesti mula melakukan sesuatu. Jangan hanya sekadar jadi penonton dan menghabiskan masa di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam laporannya, pakar epidemiologi Universiti Harvard, Profesor Marc Lipsitch, pula membayangkan jangkitan Covid-19 sentiasa berterusan jika manusia mudah dijangkiti dan terdedah kepada virus kecuali proses kawalan kekebalan dapat dilaksanakan.
Pantau
Kepakaran kejuruteraan dan saintis sepanjang pandemik Covid-19 terbukti berkesan di Britain kerana dipantau Pasukan Penasihat Saintifik Kecemasan atau Scientific Advisory Group for Emergencies (SAGE) iaitu kombinasi jurutera dan saintis terlibat secara maksimum untuk merancang sistem lalu lintas selamat, kemudahan keselamatan, pemeriksaan lapangan terbang dan pelbagai tindakan kritikal.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula mendesak orang ramai bertindak berteraskan ilmu kejuruteraan atau nasihat pakar profesional.
Justeru, penulis merasakan belum ada tindakan signifikan yang dicipta jurutera tempatan bagi membantu pencegahan Covid-19. Di Korea Selatan dilaporkan wujud sistem aplikasi dipanggil Corona 100 meter bagi mengawasi maklumat terperinci tentang jangkitan.
Jurutera di Wuhan, China membina hospital dalam masa seminggu sehingga berjaya menyekat pandemik daripada menyebar.
Dalam surah Al-Zumar, ALLAH SWT memberi amaran senario itu bermaksud: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang berakal sempurna.”
Itu membuktikan jurutera bukan sahaja sekadar membina bangunan pencakar langit dan jambatan terpanjang tetapi ilmu kejuruteraan sangat luas sehingga mampu menyelesaikan isu kesihatan awam, mencegah wabak, pemulihan persekitaran serta mampu menyelesaikan isu yang tidak mampu diputuskan doktor atau pakar pemakanan.
Penulis dapat merumuskan betapa jurutera di Malaysia masih berada dalam kotak selesa dan belum berperanan besar membantu pencegahan Covid-19. Justeru, penulis menuntut pengorbanan yang lebih besar daripada para jurutera di negara ini.
* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!