Kisah artis bermasam muka, ego dan populariti
KISAH artis atau selebriti bermasam muka dan bergaduh bukanlah satu perkara baharu dalam industri hiburan tanah air. Ada sahaja kisah tidak puas hati dan pertelingkahan antara mereka yang mengundang perhatian umum.
Baru-baru ini, kita dihadapkan dengan kisah pergaduhan melibatkan beberapa orang artis tanah air ‘berperang mulut’ kerana isu tertentu yang dipertahankan sehingga menimbulkan salah faham ramai.
Jika tidak dilaporkan menerusi media sekalipun, ia tetap sampai kepada peminat menerusi pelbagai medium komunikasi yang kini boleh dicapai mudah oleh semua orang.
Apa yang menyedihkan, cerita-cerita negatif seperti itu semakin kerap dikongsi secara terbuka di laman sosial tanpa sebarang tapisan dan kawalan atas alasan mereka berhak berkongsi apa sahaja menerusi akaun peribadi masing-masing.
Namun tanpa disedari, tindakan tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada warganet dan para peminat mereka untuk turut campur masalah yang berlaku.
Malah, pada satu tahap, ia seolah-olah menjadi ‘hiburan’ untuk warganet atau masyarakat di luar sana melihat golongan artis saling berbalas kenyataan untuk mempertahankan diri masing-masing.
Akhirnya perselisihan faham yang pada mulanya kecil menjadi serius sehingga berakhir dengan tindakan saman-menyaman antara kedua belah pihak. Siapa yang rugi?
Mungkin ada sebab kenapa perselisihan atau pergaduhan tersebut berlaku, namun pasti ada cara atau pendekatan terbaik untuk menyelesaikannya tanpa diperbesarkan.
Bagaimanapun, bukan semua artis suka untuk terlibat dalam permasalahan seperti itu. Hanya segelintir daripada mereka sahaja terbabit. Namun kelompok segelintir itulah yang mencetuskan impak negatif dan pandangan tidak tepat terhadap industri hiburan tanah air secara keseluruhannya.
Apa yang membezakan kita di sini adalah bagaimana masalah yang wujud itu dihadapi dan diatasi dengan sebaiknya.
PertelingkahanGolongan artis mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat dan perlu lebih bijak untuk mengambil langkah yang sepatutnya.
Tidak perlulah menurut emosi dan menghebahkan kepada satu dunia tentang pertelingkahan yang berlaku kerana ia pastinya akan menarik perhatian ramai.
Tindakan itu bukan sahaja akan memberi kesan negatif kepada diri dan kerjaya tetapi juga menunjukkan sikap tidak profesional dan kurang matang artis tersebut dalam menangani masalah, melainkan mereka sebenarnya mempunyai agenda lain untuk menarik perhatian umum.
Sama ada ia sengaja dibuat untuk mempromosikan diri, mahupun tujuan lain yang hanya diketahui oleh mereka sendiri.
Apa yang pasti, tindakan-tindakan seperti itu akhirnya memakan diri mereka sendiri apabila kerjaya seni menerima tempias.
Apabila isu-isu sedemikian dimainkan, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada pihak yang bakal bekerjasama dengan artis terbabit pada ketika itu atau pada masa akan datang.
Tanpa disedari, banyak peluang untuk melebarkan kerjaya mereka terlepas hanya kerana isu remeh.
Industri hiburan tanah air terlalu kecil dan esok lusa kita pastinya berjumpa dengan orang yang sama kembali. Usahlah menjadi virus dalam industri tempat mencari rezeki.
Meskipun ada di antara mereka yang kononnya sanggup untuk bekerjasama atas dasar profesional, namun sejauh manakah mereka mampu berlagak seolah-olah tiada apa berlaku sedangkan pada hakikatnya masing-masing menyimpan perasaan kurang senang antara satu sama lain.
Elakkan daripada terjebak dalam situasi yang merugikan diri sendiri ini. Sebaliknya hargailah ruang dan peluang yang diberikan dalam industri seni.
Apa yang penting, usahlah merosakkan ‘periuk nasi’ sendiri hanya kerana kegagalan mengawal emosi atau menguji pengaruh diri.
Adalah lebih baik memberi tumpuan untuk memantapkan kerjaya seni dan menyumbang sesuatu yang lebih positif kepada industri. Biarlah nama menjadi sebutan kerana pencapaian dan bukan sebaliknya.
Malah, bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, berilah contoh dan teladan terbaik buat mereka di sekeliling.
* Wawann Mohd ialah Wartawan Hiburan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!