Potret 'Terima Kasih Abah' tanda penghargaan
PASIR MAS - Bagi meluahkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ikhlas memimpin negara semasa dilanda pandemik wabak koronavirus (Covid-19), seorang pemuda di sini menghasilkan lukisan potret pemimpin itu.
Muhamad Aqef Aizaq Che Jaaffar,19, dari Kampung Chetok di sini mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan potret menggunakan pensel dinamakan 'Terima Kasih Abah'.
“Saya mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan ini dan saya telah lakukan sehabis baik.
“Saya namakan lukisan ini Terima Kasih Abah, tanda terima kasih dan penghargaan saya kepada Tan Sri Muhyiddin kerana ikhlas mentadbir negara, tambahan lagi di musim penularan wabak ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhamad Aqef yang bekerja di sebuah kedai alat ganti kenderaan berkata, dia berharap Perdana Menteri dapat melihat hasil karyanya itu.
"Lukisan ini tidaklah seberapa namun amat bermakna buat saya kerana ia hadir dari lubuk hati saya.
"Saya mula asah bakat melukis potret sejak berusia 17 tahun. Dulu saya memang tak pandai langsung melukis, tetapi disebabkan minat saya sanggup belajar satu per satu daripada YouTube,” katanya.
Dia berkata, selain lukisan potret, dia juga menghasilkan lukisan mural mengikut kehendak pelanggan.
"Saya banyak meluangkan masa berkarya di rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!