Spratly terus panas

Kepulauan Spratly dan Paracel yang menjadi rebutan.
Kepulauan Spratly dan Paracel yang menjadi rebutan.
A
A
A

KEPULAUAN Spratly terus menjadi zon panas apabila kawasan itu sekali lagi menjadi medan pertembungan kuasa serantau antara China dan Amerika Syarikat (AS) apabila kapal-kapal perang kedua-dua negara itu mula bergerak ke lokasi berkenaan.

Ia berlaku kerana kapal eksplorasi Petronas, West Capella yang berada di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia dilaporkan dirapati oleh kapal-kapal Pengawal Pantai China dan berlakunya stand off.

Kejadian seperti ini bukanlah pertama kali berlaku kerana kapal-kapal Pengawal Pantai China sering menceroboh EEZ Malaysia dan negara ASEAN lain dengan mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah milik mereka hanya berdasarkan sejarah dan nostalgia.

Selain itu, tindakan China mewujudkan Nine Dash Line adalah jelas melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 yang meletakkan laut 200 batu nautika dari pantai adalah EEZ milik negara terbabit.

Bagaimanapun, tindakan China terhadap Malaysia dalam isu pertindihan laut tidaklah sekeras seperti pertembungan mereka dengan Vietnam dan Filipina. Mungkin China masih menghargai bahawa Malaysia ialah negara ASEAN pertama yang menormalisasikan hubungan diplomasi dengan negara tembok besar itu pada tahun 1974.

Sejak hujung 1980-an, China dan Vietnam sudah berkonfrontasi banyak kali di sekitar Kepulauan Spratly dan Paracel yang menjadi rebutan. Pertembungan itu menyebabkan ratusan tentera kedua-dua negara terbunuh.

Perkara itulah yang Malaysia cuba elakkan daripada berlaku.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia berpendirian bahawa setiap perselisihan berhubung isu pertikaian Laut China Selatan harus diselesaikan secara damai.

Artikel Berkaitan:

Kata Hishammuddin, sebarang kemalangan yang berlaku boleh menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.

Oleh kerana Laut China Selatan adalah laluan perdagangan laut terpenting dunia, sebarang konflik boleh menjejaskan ekonomi dunia.

Malaysia perlu bijak dan tahu membawa diri. Kita tidak mahu menjadi gajah lawan gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.

Paling penting Malaysia perlu berani mempertahankan wilayah yang memang milik negara!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!