Asmak fokus tadarus, sedekah di bulan Ramadan
SHAH ALAM - Bulan Ramadan kali ini pasti berbeza kerana terpaksa berkurung di rumah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi hikmah di sebaliknya, masyarakat dilihat mempunyai lebih masa untuk mengimarahkan rumah dengan ibadah serta pelbagai aktiviti keagamaan bersama keluarga.
Pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin berkata, walaupun terpaksa berpuasa dalam tempoh PKP, rutin ibadah yang sering dilakukannya bersama keluarga sepanjang Ramadan masih sama, cuma pendekatan diambil sahaja berbeza pada kali ini kerana menyesuaikan dengan keadaan yang memerlukan semua masyarakat duduk di rumah.
Beliau berkata, kebiasaannya seluruh ahli keluarganya akan bangun bersahur tapi alang-alang dah bangun itu, digalakkan buat solat tahajud sekali.
Menurutnya, selain solat tahajud, solat witir juga tidak ditinggalkan kerana ia lebih afdal.
"Selepas solat Subuh selalunya akan gunakan masa itu untuk bertadarus al-Quran bersama anak-anak dan suami.
"Biasanya saya akan fokus pada tadarus dan buat secara bergilir-gilir bersama ahli keluarga. Apa yang penting bukan nak kejar habiskan satu Quran tapi nak kejar kefahaman dari aktiviti itu di samping untuk bantu kita saling belajar dan membetulkan bacaan antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Selain itu katanya, solat tarawih tetap dilakukan bersama keluarganya di rumah.
"Saya sangat teruja menanti momen itu, cuma sedikit terkilan sebab kali ini tak dapat berkumpul bersama jiran-jiran untuk iftar dan solat tarawih bersama di surau seperti sebelum ini," katanya.
Asmak berkata, beliau juga menekankan aspek tazkirah sepanjang Ramadan, malah sudah mempersiapkan seluruh ahli keluarganya untuk melakukan aktiviti itu sejak dari awal PKP lagi.
Beliau berkata, tazkirah itu dibuat secara bergilir-gilir oleh beliau, suami, Mohd Fakaruddeen Che Omar, 43, dan lima anak mereka.
"Peringkat awalnya ia bertujuan melatih anak-anak bagi mereka berani dan yakin dan kemudiannya secara berperingkat saya dan suami akan ajar mengikut topik dan kesesuaian umur mereka," katanya.
Asmak berkata, bulan Ramadan adalah bulan bersedekah dan beliau akan terapkan amalan itu dengan bersedekah kepada jiran-jiran.
Menurutnya, sebelum ini dia jarang dapat meluangkan masa untuk menyediakan makanan kerana kekangan kerja dan lebih banyak membeli kuih-muih atau air kotak untuk disedekahkan kepada jiran tetangga Muslim dan bukan Muslim.
"Kali ini, saya yakin masa di rumah dimanfaatkan untuk memasak dan bersedekah kepada mereka," katanya.
Selain itu katanya, boleh juga bersedekah secara online dan paling utama selesaikan semua pembayaran zakat terlebih dahulu.
Berkongsi mengenai pemakanan sihat bagi mengekalkan kecergasan sepanjang Ramadan, Asmak berkata, menu sahur mereka sekeluarga ringkas saja tapi amat menitikberatkan soal penjagaan makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!