Imarah Ramadan dengan tambah ilmu pengetahuan - Sultan Selangor
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta umat Islam mengimarahkan Ramadan dengan menambah ilmu pengetahuan menerusi pembacaan buku-buku tentang sejarah peradaban Islam.
Baginda bertitah, banyak perkara boleh dipelajari dan diteladani daripada kisah-kisah dan sejarah Islam terdahulu dalam usaha menjadi masyarakat lebih berilmu dan bijak ketika berdepan krisis atau masalah.
Menurut baginda, sejarah peradaban Islam boleh dijadikan rujukan terutama dalam keadaan negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.
"Marilah kita berdoa dengan bersungguh-sungguh agar wabak Covid-19 yang dihadapi ketika ini segera berakhir.
"Semoga seluruh rakyat Negeri Selangor khususnya, serta umat Islam di seluruh dunia terselamat daripada dijangkiti virus berbahaya ini dan dijauhi daripada bala bencana," titah baginda dalam perutusan Ramadan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office malam tadi.
Sultan Sharafuddin turut mendoakan umat Islam di negeri ini menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan penuh kesabaran meskipun rakyat di negeri Selangor sedang diduga dengan penularan wabak berbahaya Covid-19.
"Memandangkan ketika ini rakyat masih mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah, beta juga berharap umat Islam mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan amalan-amalan terpuji serta ibadat-ibadat wajib dan sunat termasuk menunaikan solat sunat tarawih di rumah masing-masing," titahnya.
Justeru baginda meminta seluruh rakyat bersama-sama bersatu demi memastikan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan.
"Ini termasuk dengan mempraktikkan penjarakan sosial dan duduk di rumah serta patuhilah segala garis panduan, nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
"Di kesempatan ini, beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan 1441 Hijrah dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!