Status juara Thailand Masters barakan V Shem, Wee Kiong
BEREGU lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong optimis mampu meraih satu lagi keputusan positif pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2019 selepas merangkul kejuaraan Thailand Masters 2019 minggu lalu.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu memulakan pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Arena Axiata, KL Sports City itu dengan kemenangan ke atas gandingan Di Zijian-Wang Chang dari China 21-14, 19-21, 21-9.
V Shem yang ditemui selepas perlawanan berkata beliau dan Wee Kiong hanya mahu menumpukan perhatian kepada setiap perlawanan dan tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan meskipun edisi lepas menyaksikan mereka berjaya mara ke final.
“Tahun lepas itu sudah habis. Sekarang kami mahu buat apa yang terbaik dan kami yakin dapat berikan satu keputusan yang bagus,” katanya.
Menanti mereka di pusingan kedua adalah pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang mudah menjinakkan gandingan Korea Selatan Kim Gi Jung-Lee Yong Dae 21-16, 21-13.
Sementara itu, turut mara adalah satu lagi pasangan profesional negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen dan dua beregu lelaki yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Kah Ming-Juan Shen menewaskan Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman 21-13, 20-22, 21-19 sementara Aaron-Wooi Yik menundukkan pasangan dari England Marcus Ellis-Chris Langridge 21-19, 21-12 manakala Yew Sin-Ee Yi menumpaskan pilihan kelapan kejohanan dari Taiwan Liao Min Chun-Su Ching Heng 21-14, 21-14. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!