Tiga peniaga dikompaun gagal pamer harga gas LPG
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mengenakan kompaun sebanyak RM3,000 kepada tiga peniaga kerana tidak mempamerkan tanda harga semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, V Ravichandran berkata, peniaga tersebut dikompaun masing-masing RM1,000 kerana gagal meletakkan tanda harga jualan ke atas tong gas petroleum cecair (LPG) di premis yang beroperasi sekitar Ipoh.
"Pemeriksaan yang dijalankan sepasukan tujuh pegawai mendapati tiga pemilik itu gagal mempamerkan tanda harga pada barangan di premis masing-masing.
"Mereka melakukan kesalahan di bawah Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Peruncit) 1993," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ravichandran berkata, tindakan sama pernah diambil terhadap sebuah premis di Taiping, Isnin lalu.
Tegasnya, tindakan itu diambil sebagai peringatan kepada peniaga lain untuk tidak mengambil kesempatan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang gagal meletakkan label, tag atau tanda harga tunai pada barangan yang dipamerkan untuk jualan dalam premis perniagaan tersebut.
"Orang ramai boleh melaporkan sebarang kesalahan berkaitan harga dan isu bekalan dengan menghubungi bilik gerakan KPDNHEP Perak di talian 05-2414611," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!