Moral, momentum petugas keselamatan masih sama
IPOH - Moral dan momentum anggota polis yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perak masih berada pada tahap sama.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, walaupun jumlah sekatan jalan raya ditambah pada PKP fasa ketiga ini, anggota bertugas masih menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu kerajaan mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Peringkat awal fasa pertama dan kedua PKP, tidak kurang 70 sekatan jalan raya kita jalankan di seluruh negeri dan sekarang sudah bertambah kepada 96.
"Oleh kerana itu, saya ada cadangkan agar tempoh bertugas 8 jam yang diperuntukkan kepada setiap anggota ini dipendekkan kepada 4 jam sahaja, tetapi maklum balas diperoleh, kebanyakan anggota sendiri mahukan tempoh bertugas itu dikekalkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sumbangan sahur oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini awal pagi tadi.
Penyerahan makanan itu disempurnakan Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Razarudin berkata, untuk sekatan jalan raya sahaja, tidak kurang 1,750 anggota polis terlibat dalam penugasan manakala 1,200 anggota lagi bagi rondaan dan pemeriksaan mengejut.
"Semua yang terlibat dalam penugasan ini memang tiada hari cuti, mereka keluar setiap hari 24 jam," katanya.
Begitupun pihaknya yakin, mereka yang terlibat dapat mengekalkan momentum sama selaras dengan penguatkuasaan PKP fasa keempat yang bermula, 29 April hingga 12 Mei ini.
"Saya dimaklumkan dan mendengar sendiri setiap pagi melalui walkie talkie, semua ketua polis daerah bercakap dan memberi semangat kepada anggota mereka untuk menjaga keselamatan dalam menentukan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan.
"Lawatan yang saya lakukan di sekatan jalan raya di daerah-daerah juga mendapati, momentum itu masih sama seperti dulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!