Lelaki tikam pekerja kedai buku kerana dendam terhadap masyarakat

Mangsa merupakan pekerja di sebuah cawangan rangkaian kedai buku Maruzen & Junkudo yang terletak di pusat bandar Osaka.
Mangsa merupakan pekerja di sebuah cawangan rangkaian kedai buku Maruzen & Junkudo yang terletak di pusat bandar Osaka.
A
A
A

TOKYO – Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan polis selepas mengaku menikam seorang pekerja kedai buku menggunakan pisau dapur dalam kejadian di Osaka, Jepun pada Ahad.

Jurucakap polis memaklumkan kepada Agensi Berita AFP bahawa suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia menyimpan dendam terhadap masyarakat.

Lelaki yang dikenal pasti sebagai Satoshi Okamoto itu didakwa menggunakan pisau dapur untuk menikam pekerja berkenaan di sebuah cawangan rangkaian kedai buku Maruzen & Junkudo yang terletak di pusat bandar Osaka, bandar kedua terbesar di Jepun.

Mangsa yang bekerja di premis berkenaan segera menghubungi polis sejurus selepas kejadian.

Polis bagaimanapun tidak memperincikan keadaan mangsa, namun memaklumkan kecederaan dialami tidak mengancam nyawanya.

Suspek yang masih berada di dalam kedai ketika polis tiba ditahan sebelum mengakui perbuatannya.

Menurut jurucakap polis yang memberikan taklimat kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan, suspek memberitahu pegawai bahawa dia 'menyimpan dendam terhadap masyarakat secara keseluruhan'.

Jenayah kekerasan jarang berlaku di Jepun, namun beberapa kejadian serangan dan tikaman dilaporkan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Insiden terbabit antaranya dilakukan individu yang terasing daripada masyarakat dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dunia secara keseluruhan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!