Ramadan bermakna buat keluarga Ainul Mardhiah
MELAKA TENGAH - Kedatangan Ramadan kali ini begitu bermakna buat keluarga adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang sebelum ini menderita kanser mulut Germ Cell Tumour semakin menunjukkan perkembangan kesihatan yang baik.
Bayi berusia setahun lapan bulan yang mesra dipanggil Ainul kini sudah pandai menutup alat bantuan pernafasannya (trancy) sendiri dan mengeluarkan suara, malah bijak memberikan tindak balas dengan menunjukkan respon sama ada menggelengkan mahupun menganggukkan kepala.
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak,25, berkata, biarpun sambutan Ramadan berbeza berbanding tahun sebelumnya, namun dia bersyukur kerana pada tahun lalu dia sekeluarga menerima pelbagai ujian dari ALLAH SWT dan menjalani ibadah puasa di London kerana pada Jun tahun lalu Ainul menjalani pembedahan di sana.
Menurutnya, ketika itu dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi,24, melalui pelbagai rintangan termasuk setiap hari melihat penderitaan yang terpaksa dilalui Ainul dengan ketumbuhan yang besar dan ketika itu juga belum ada sebarang keputusan untuk melakukan pembedahan hinggalah penghujung Ramadan lalu mereka mendapat panggilan untuk ke United Kingdom (UK).
"Tahun lalu puasa agak sukar. Waktu itu Ainul masih ada lagi ketumbuhan dan hujung puasa kami dapat panggilan ke UK dan beraya di sana, beraya di negara orang.
"Ini pertama kali dapat berpuasa di rumah sendiri bersama Ainul dan keadaan Ainul semakin sihat, alhamdulillah sememangnya kami ternanti-nanti saat ini," katanya.
Tambahnya, tahun ini juga bukan sahaja keadaan Ainul semakin ceria dan lasak, tetapi mereka sekeluarga dapat berpuasa bersama.
"Bagi kami, Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun lalu dan bersyukur sangat ALLAH masih panjangkan umur anak kami yang semakin bertambah berat badan mencecah 7 kilogram," katanya ketika ditemui di Taman Ayer Molek.
Ahmad Safiuddin yang bekerja sendiri berkata, anaknya yang meminati kartun Omar dan Hana juga pandai bermain sendiri biarpun masih menggunakan bantuan mesin oksigen.
"Cuma kami kena selalu pantau sebab Ainul dah mula lasak dan kadang-kadang wayar oksigen akan tercabut.
"Setakat ini Ainul boleh bernafas tanpa menggunakan bantuan oksigen selama 10 minit dan lebih daripada tempoh itu, dia akan terbatuk dan saya harap Ainul terus sembuh," katanya yang turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan anaknya.
Sementara itu, Nurul Erwani berkata, sudah pasti sebagai ibu, fasa sekarang adalah yang dinanti-nantikan kerana dapat bermain dengan Ainul walaupun anaknya itu belum mampu berjalan seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, doktor memaklumkan keadaan Ainul yang sedikit lambat berjalan adalah normal bagi kanak-kanak yang pernah menghidap kanser itu dan melihat senyuman dan telatah Ainul setiap masa cukup memberi kebahagiaan dan kegembiraan bagi seorang ibu.
"Tahun ini dah boleh bermain dengan Ainul, melihat senyuman Ainul dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Ainul termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang sentiasa mengambil berat perkembangan Ainul," katanya.
Sebelum ini, ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun tahun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius yang diterajui oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Profesor David Dunaway.
Penderitaan Ainul Mardhiah juga mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!