Tingkat amal ibadah, amalan mulia sepanjang Ramadan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam diminta terus meningkatkan amal ibadah dan amalan-amalan mulia sempena kedatangan Ramadan walaupun ketika ini negara berdepan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohammed Khusrin Munawi berkata, meskipun negara diancam Covid-19, namun ia bukan halangan untuk setiap umat Islam mengambil keberkatan Ramadan.

Menurutnya, kedatangan Ramadan ini juga memberi peluang kepada setiap umat Islam menggandakan pahala dengan menunaikan zakat sama ada zakat harta dan fitrah, menunaikan wakaf serta membanyakkan sedekah.

"Semua ini boleh dilaksanakan melalui atas talian di laman web MAIS www.mais.gov.my atau agensi berkaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammed Khusrin berkata, selain itu, Ramadan juga mempunyai hikmah tersendiri kerana inilah masa paling sesuai untuk seorang lelaki yang telah berkeluarga menjadi imam serta membimbing keluarga ketika berada di rumah.

"Kepada ketua keluarga bersedialah membimbing keluarga masing-masing agar dapat melaksanakan ibadah-ibadah terutamanya puasa, tadarus al-Quran, solat tarawih dengan penuh ketenangan dan kesabaran.

"Saya pasti, kita semua merindukan ibadah solat tarawih berjemaah di masjid atau surau, membeli juadah di bazar Ramadan, berbuka puasa bersama keluarga di kampung halaman dan pelbagai aktiviti yang biasa dilakukan sepanjang Ramadan," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Bagaimanapun, Mohammed Khusrin berkata, buat masa ini semua pihak perlu mematuhi dan akur dengan arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Ramadan kali ini lebih mencabar kerana kita berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Pelbagai arahan telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!