MAIPk permudah urusan bayaran zakat
IPOH - Pembayar zakat fitrah di negeri Perak disyorkan supaya menunaikan kewajipan itu secara dalam talian.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataannya memaklumkan, terdapat empat medium membuat bayaran yang boleh dipilih iaitu Aplikasi GoPayZ dan SnapNPay, QR Pay Maybank serta FPX dengan melayari ezakat.maiamp.gov.my.
Menurut kenyataan itu, penyata atau kupon digital bayaran fitrah boleh diperolehi selepas enam hari transaksi dilakukan.
“Pembayar hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan bagi pembayar menggunakan aplikasi SnapNPay dan GopayZ atau Reference ID jika memilih kaedah QR Pay Maybank, ke dalam sistem online.maiamp.gov.my/zakatfitrah dan seterusnya memuat turun penyata bayaran untuk simpanan atau cetakan,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, bayaran zakat juga boleh dibuat melalui amil atau kaedah manual yang lain.
Menurut MAIPk, bayaran melalui amil tetap diteruskan tetapi ia bukan pilihan utama.
Katanya, kaunter pandu lalu diwujudkan oleh amil fitrah di masjid tertentu sahaja dan tempoh operasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad.
Menurut kenyataan itu, kaedah pembayaran lain ialah amil bertemu secara langsung dengan pembayar.
“Amil akan bertemu secara langsung dengan pembayar bagi dua keadaan iaitu warga tua yang uzur dan tidak mempunyai kemahiran membuat bayaran atas talian serta kawasan penduduk yang tiada akses internet yang baik seperti pedalaman, kampung orang asli dan kawasan perladangan.
“Kaedah seterusnya ialah amil yang dilantik bergerak mengutip zakat fitrah dari rumah ke rumah tanpa memerlukan pembayar keluar daripada kawasan perumahan dengan menemui amil zakat di tempat tertentu seperti halaman rumah, pagar dan hadapan pintu sahaja,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama katanya, Tabung Khas Fitrah akan diwujudkan di masjid-masjid tertentu, hospital dan pejabat polis atau tempat-tempat terpilih.
Pembayar hanya perlu memasukkan jumlah fitrah, maklumat pembayar dan nombor telefon ke dalam tabung melalui sampul yang disediakan oleh pihak masjid atau amil bertauliah MAIPk.
Tambah kenyataan itu, kupon fitrah akan diberikan kepada pembayar setelah tamat urusan kutipan dibuat dalam sesuatu tempoh masa atau selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekiranya maklumat lengkap diberikan melalui sampul berkenaan.
Tiada kupon fitrah yang akan dikeluarkan sekiranya maklumat tidak diperolehi.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari www.maiamp.gov.my atau Facebook Zakat Perak-MAIPk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!