Budak dikhuatiri lemas selepas mandi bersama datuk dan nenek

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SIBU - Seorang kanak-kanak lelaki hilang dan dikhuatiri lemas selepas mandi bersama datuk dan neneknya di Sungai Ngemah, kawasan penempatan semula Nanga Jagau, Kanowit, 70km ke tenggara dari sini kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Nekson Dana Raimond, 7, hanyut dibawa arus deras selepas neneknya terlepas pegangan tangannya ketika mahu naik ke daratan untuk menukar pakaian, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik hari ini.

“Datuk dan neneknya bergegas balik ke rumah panjang Unau Mou untuk meminta bantuan penduduk mencari mangsa. Pencarian bermula jam 5 petang dengan menggunakan tiga buah perahu namun sehingga jam 7 malam mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kejadian telah ditularkan dalam media sosial pada malam tadi sebelum bilik kawalan Bomba dan Penyelamat Kanowit menghubungi ketua masyarakat Penghulu Juni Massam untuk mendapatkan maklumat.

Menurut beliau, pada awalnya ibu bapa mangsa bersama Tuai Rumah Unau telah berbincang dan bersetuju untuk tidak mendapatkan pertolongan bomba dan polis untuk mencari mangsa kerana takut dengan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, selepas satu perbincangan dengan pihak bomba dan polis pada jam 7.40 pagi hari ini, kedua-dua pihak telah menghantar sepasukan anggota ke Nanga Jagau untuk membantu menjalankan usaha mencari dan menyelamat mangsa bersama penduduk rumah panjang berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!