Lanjutan PKP: Jadual kerja petugas KKM tiada perubahan

Noor Azmi (kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria meninjau keadaan rumah Razali Ahmad, 53, di Kampung Parit Haji Taib 2 yang terjejas akibat ribut.
Noor Azmi (kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria meninjau keadaan rumah Razali Ahmad, 53, di Kampung Parit Haji Taib 2 yang terjejas akibat ribut.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tiada sebarang perubahan jadual kerja bagi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 29 April hingga 12 Mei ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kementerian berpendapat langkah pengawalan wabak koronavirus (Covid-19) masih perlu diteruskan walaupun statistik kes menunjukkan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

"Kita akui, negara ketika ini sudah ada kemajuan dari segi data melibatkan kes-kes baru, mereka yang telah sembuh dan yang dirawat di ICU (unit rawatan rapi), tetapi kita juga perlu belajar dari apa yang terjadi kepada negara-negara luar.

"Kita tidak boleh membuat pelepasan secara mengejut, perlu ada kesinambungan sepertimana dibuat kerajaan dengan meneruskan PKP," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa-mangsa ribut di Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.

Noor Azmi ketika ditemui pemberita hari ini.
Noor Azmi ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas laporan seramai 325 petugas kesihatan dikesan positif Covid-19, Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, kes berkenaan berlaku disebabkan jangkitan kluster-kluster luar, bukannya kegagalan pengendalian di fasiliti KKM.

Katanya, di dalam fasiliti KKM, semua petugas diberi penekanan penting khususnya aspek pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE).

Artikel Berkaitan:

"Semua kes direkod itu merupakan jangkitan dari luar sama ada yang menghadiri kenduri, pulang dari luar negeri dan sebagainya.

"Pada peringkat awal, mereka ini belum lagi dapat dikesan dan telah merebakkan wabak di tempat kerja," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan semua kes berkenaan terdiri daripada 77 orang pegawai perubatan; 66 jururawat; 34 pegawai perubatan siswazah; 23 pakar perubatan; 21 penolong pegawai perubatan dan 104 lain-lain skim perkhidmatan.

Setakat ini, tiga kematian dilaporkan membabitkan petugas kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!