Kementerian sangkal tuduhan veteran ATM diabai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diabaikan seperti didakwa dalam laporan media.

Mindef berkata, isu permasalahan Veteran ATM bukan isu baharu dan sudah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kerajaan PH melalu Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada.

“Antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam dan sebagainya,” kata melalui kenyataan media hari ini.

Mindef berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM78,914,400 tahun lalu dan jumlah tersebut bertambah kepada RM98,006,000 melalui Bajet 2019 yang diumumkan pada 2 November lalu.

“Kerajaan juga sudah meluluskan bantuan khas RM500,000 untuk diagihkan kepada persatuan bekas tentera.

“Malah kerajaan merancang untuk meningkatkan pembabitan agensi awam dan swasta demi menjaga kebajikan serta menambahbaik taraf sosio-ekonomi Veteran ATM,” katanya.

Kerajaan turut membuktikan keprihatinan kepada Veteran ATM melalui pengaktifan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang sudah bersidang buat kali pertama pada 24 Disember lepas walaupun ditubuhkan sejak 2016.

Artikel Berkaitan:

MVK yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sudah merangka strategi dan mengkaji kaedah dan cara terbaik untuk memastikan kebajikan Veteran ATM sentiasa diutamakan demi menghargai pengorbanan mereka kepada negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!