Ramadan kali ini bawa kelainan: Sultan Johor
JOHOR BAHRU - Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah umat Islam di negeri ini menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini dalam keadaan luar biasa disebabkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Sultan Johor bertitah, Ramadan kali ini membawa suatu kelainan yang tidak pernah dirasai rakyat sebelum ini akibat pandemik tersebut.
"Bangsa Johor yang beragama Islam khususnya tidak dapat bertarawih dan membuat ibadah lain di masjid seperti biasa dan secara amnya pula tidak dapat menikmati bazar Ramadan yang dinanti-nantikan.
"Saya akui tempoh kawalan pergerakan yang kita lalui selama ini tidak mudah untuk semua. Ada yang kehilangan orang tersayang dan terjejas pendapatannya. Petugas barisan hadapan mengambil risiko yang besar setiap hari manakala peniaga-peniaga pula risau bagaimana untuk terus bertahan," titahnya kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Bagaimanapun titah baginda, hanya dengan cara tersebut dapat memutuskan rantaian jangkitan virus itu dengan secepat mungkin dan selepas itu boleh meneruskan serta membina kehidupan semula perlahan-lahan.
Baginda mahu umat Islam menggunakan dan memanfaatkan Ramadan kali ini dengan sebaik-sebaiknya untuk meningkatkan amal ibadah di rumah, bermuhasabah diri dan bertawakal kepada ALLAH SWT.
Sultan Ibrahim juga berdoa supaya semua pihak dikurniakan keberkatan dan kerahmatan untuk segera bangkit daripada bencana wabak yang melanda.
"Kepada Bangsa Johor yang bukan Islam pula, berdoalah juga dengan cara anda sendiri untuk kebaikan semua. Saya dan keluarga mengucapkan semua umat Islam selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak," titah baginda lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!