Sahur ala kadar, rumah dilanda ribut

Keadaan rumah Razali yang terjejas akibat ribut kelmarin.
Keadaan rumah Razali yang terjejas akibat ribut kelmarin.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pagi tadi kami bersahur ala kadar sahaja, sedih mengenang keadaan rumah, lantai pun masih bertakung air hujan, kata Razali Ahmad,53, seorang daripada 50 penduduk di Parlimen Bagan Serai yang terjejas akibat ribut Rabu lalu.

Kejadian sekitar jam 3.30 petang itu menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah Razali di Parit Haji Taib 2, di sini diterbangkan angin.

Dia berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anak berada di rumah, namun berjaya menyelamatkan diri.

"Kejadian berlaku terlalu pantas tak sampai 10 minit, saya dapat rasa rumah seperti digoncang sebelum menyedari bumbung ruang tamu dan dapur hilang diterbangkan angin.

"Malam tadi terpaksalah kami berkumpul dan tidur di bahagian depan rumah, ruang tamu dan dapur habis basah," katanya.

Razali yang bekerja sebagai pemandu van hilang mengakui, terkesan dengan kejadian itu lebih-lebih lagi berlaku ketika Ramadan.

"Hari pertama kami bersahur rasa macam tak sempurna, tetapi apa boleh buat, saya anggap ini ujian Ramadan buat kami sekeluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rokayah menunjukkan keadaan bumbung dapur rumahnya yang hilang dalam kejadian ribut, kelmarin.
Rokayah menunjukkan keadaan bumbung dapur rumahnya yang hilang dalam kejadian ribut, kelmarin.

Seorang lagi mangsa, Rokayah Mukri,71, turut melahirkan rasa pilu apabila pertama kali menyambut Ramadan dalam keadaan rumah yang rosak.

Katanya, kejadian angin kencang menyebabkan keseluruhan bumbung dapurnya diterbangkan angin.

"Masa kejadian makcik duduk seorang, makcik terus lari ke rumah anak sebab nak selamatkan diri.

"Sedih tu tak tahulah nak gambarkan macam mana, patutnya makcik nak masak untuk sahur pagi tadi, tetapi apa boleh buat, dapur dah rosak," katanya.

Dia berkata, sementara menanti kerja baik pulih dijalankan, dia tinggal bersama di rumah anaknya yang terletak bersebelahan.

Mereka ditemui ketika lawatan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bersama Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria, hari ini.

Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, pihaknya akan menyegerakan bantuan baik pulih di semua rumah yang terjejas akibat bencana itu menerusi peruntukan Parlimen.

Katanya, laporan awal mendapati, terdapat 50 rumah penduduk terlibat, namun hanya 13 mengalami kerosakan serius.

"Belum ada keperluan untuk membuka pusat pemindahan berikutan kebanyakan mangsa mahu menumpang sementara di rumah ahli keluarga terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!