Hujan, panas bukan halangan petugas barisan hadapan
KOTA BHARU - Sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetap akan dilaksanakan walaupun anggota polis mungkin berdepan cuaca panas di bulan Ramadan ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bulan Ramadan bagaimanapun tidak mematahkan semangat anggota polis untuk terus menjalankan tanggungjawab terhadap pelaksanaan PKP.
“Sama sahaja, tiada apa yang berubah sama ada puasa atau tidak berpuasa. Mereka akan bertukar giliran bekerja setiap lapan jam sekali, bagi memberi ruang kepada anggota untuk berehat daripada mengalami kepenatan.
"Anggota ganti disediakan kalau ada anggota (bertugas) yang demam atau sakit. Hujan atau panas ini adalah musim, tetapi Insya-ALLAH kita akan lakukan tugas sebaik mungkin," katanya selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Dalam pada itu beliau berkata, sehingga kini sebanyak 36 sekatan jalan raya telah dilakukan di beberapa lokasi tertentu.
Pada masa sama Hasanuddin memberi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi penjarakan sosial terutama ketika membeli barangan basah di pasar.
"Pakailah juga topeng muka kerana kita kena sentiasa jaga-jaga walaupun keadaan Covid-19 di negeri kita semakin baik,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!