Kementerian kewangan tumpu usaha jangka pendek, sederhana
SHAH ALAM - Kementerian Kewangan akan memberi tumpuan kepada usaha jangka pendek dan sederhana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas tamatnya PKP bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara objektif jangka pendek dan sederhana ialah membina keupayaan perniagaan dan individu, memastikan keyakinan pengguna dan memperkasakan pelaburan.
Beliau berkata, pelan berkenaan akan menjadi penghubung kepada pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan Kerajaan sebelum ini untuk melindungi rakyat.
"Ia juga akan menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) bagi merangka Pelan Pemulihan Ekonomi yang menyeluruh.
"Teknologi digital akan memainkan peranan penting memastikan kelestarian dan daya saing negara," katanya.
Pada masa sama katanya, kementeriannya juga maklum mengenai norma baharu yang bakal dihadapi berlatarbelakangkan persekitaran dunia pasca Covid-19.
"Oleh itu, bersama UPE, sesi libat urus sudah bermula bersama pihak berkepentingan pelbagai industri dan sektor untuk mendapatkan maklum balas yang berkaitan dalam usaha memulih dan membangunkan ekonomi negara.
"Strategi pemulihan dan pembangunan ekonomi ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Majlis Tindakan Ekonomi dan juga Kabinet dalam masa terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!