JKM nafi agih bakul makanan dengan nilai rendah: Ismail Sabri
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan wujud pengagihan bantuan bakul makanan dengan nilai rendah seperti didakwa sesetengah pihak ketika ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.
“Sebenarnya, isu yang dibangkitkan adalah jumlah (bantuan makanan) yang tidak mencukupi, konon jumlah yang diberi ada RM35 sahaja. Ada individu tertentu yang buat posting dalam media sosial masing-masing.
“Menteri (Rina) sudah maklumkan bahawa JKM menerima sumbangan dari NGO dan pelbagai pihak. Tetapi nilai dan kos sumbangan tidak ditetapkan, boleh jadi RM30, RM50 RM70, RM100, RM200 itu terserah. Menteri juga maklumkan, itu bukan bakul dari JKM,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.
Pada 17 April dilaporkan, kira-kira 1.1 juta isi rumah seluruh negara mendapat manfaat daripada agihan bantuan bakul makanan daripada JKM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
JKM memaklumkan agihan bantuan keperluan makanan itu melibatkan 279,223 penerima yang terkesan dengan PKP.
Ditanya mengenai langkah diambil kerajaan berhubung kes positif Covid-19 di Selangor Mansion yang masih mencatatkan jumlah tinggi, Ismail Sabri berkata, perkara itu berada dalam kawalan memandangkan kawasan berkenaan juga telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Perkara ini akan kita bincangkan sebab akhirnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan nasihat kepada kita sebelum membuat keputusan. Jika perlu disambung (tempoh PKPD) kerana ada kenaikan (kes positif Covid-19) saya akan umumkan," katanya.
Berhubung respon kedutaan luar berikutan ramai rakyat asing yang berada di kawasan itu, beliau berkata Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat mereka terjaga.
Ditanya sama ada kerajaan mempertimbang untuk membuka kaunter atau kiosk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan pencarum yang tidak tahu menggunakan kemudahan dalam talian untuk mengeluarkan wang, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat yang akan turut dihadiri wakil Kementerian Kewangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!