Lelaki tular menyamar tentera dipenjara dua bulan
KUALA LUMPUR - Seorang pemuda dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah masing-masing terhadap pertuduhan menyamar sebagai anggota tentera untuk membolosi sekatan jalan raya dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohamad Khidzir Hang Jebat, 28, didakwa dengan niat menyamar sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan memakai separuh seragam askar.
Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah kanun sama yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara satu lagi pertuduhan, dia didapati bergerak dari Kuala Lumpur ke Jalan Cheras iaitu tempat dalam kawasan jangkitan yang bukan tujuan untuk melakukan mana-mana yang diperuntukkan di bawah peraturan.
Kali ini dia didakwa mengikut perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 (PPPPB 2020) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM 1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lelaki tu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Cheras pada jam 3 petang, 21 April lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon tertuduh diberikan hukuman setimpal kerana perbuatan menyamar sebagai anggota barisan hadapan adalah tidak bertanggungjawab.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimana pun merayu hukuman penjara dan dijalankan serentak dari tarikh tangkapan.
Semalam, tular seorang lelaki memakai separuh seragam celoreng, milik ATM ditahan di SJR PKP di Cheras.
Pemuda itu mengaku dari Pasukan 74 Bn KPD, namun selepas diminta untuk menunjukkan bukti, dia gagal menunjukkan kad kuasa MyTentera.
Pendakwaan di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!