Guru berpeluang berbakti kepada keluarga mertua
KODIANG - Seorang guru dari Seremban, Negeri Sembilan menggunakan peluang untuk berbakti kepada ibu dan bapa mertuanya yang uzur setelah lebih sebulan terkandas di Kampung Hutan Palas di sini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Irwan Muhammad Shah Ahmad, 40, berkata, dia dan isteri, Sharniza Mohd Said,40, pada awalnya pulang ke sini berikutan cuti sekolah selama seminggu, tetapi beliau dan keluarganya terus berada di sini apabila kerajaan mengeluarkan arahan pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac lalu.
Katanya, sebelum ini, mereka hanya pulang sekali sekala dan hanya dapat bersama dengan keluarga isteri untuk tempoh yang singkat atas kekangan tugasan masing-masing terutama isterinya yang bertugas di Kuala Lumpur.
"Ketika kerajaan umum nak laksanakan PKP, kami ada niat untuk segera kembali ke Seremban, namun membatalkan hasrat itu bila kami lihat banyak kes Covid-19 di sana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, di awal pelaksanaan PKP itu dia tidak menafikan wujud perasaan keliru dan 'tidak tahu buat apa', namun akhirnya perasaan itu beransur hilang apabila rutin harian di kampung berjaya mengalih perhatiannya untuk pulang ke bandar.
"Apa yang lebih bermakna saya dapat berbakti kepada kedua-dua mertua saya. Contohnya, saya dapat hantar bapa mertua ke pusat dialisis selang sehari, bawa ibu mertua yang alami diabetes kronik jalani pemeriksaan rutin di klinik dan lebih manis saya juga berpeluang menyambut hari lahir bapa mertua yang ke-71 pada tahun ini," katanya.
Irwan berkata, beliau juga membantu membersihkan kawasan rumah kampung yang luas dan mengecat rumah keluarga mertuanya yang baharu dibina.
"Saya turut membeli sebuah komputer khusus untuk membantu anak-anak saudara yang tinggal bersama di rumah berkenaan mengulangkaji pelajaran.
"Sebelum ini semua tugasan ini dilakukan oleh abang ipar dan adik-adik ipar yang tinggal sekali di sini, tapi sejak berada di sini saya sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya.
Sementara itu, Sharniza berkata, secara peribadi beliau menganggap perlaksanaan PKP ini memberi hikmah yang sangat besar apabila berpeluang menyambut puasa bersama keluarganya di kampung.
"Bukan kata bersama ibu dan ayah saya sahaja, malah ini juga saat berharga apabila saya berpeluang berbuka puasa bersama suami dan dua anak saya.
"Jika tidak sebelum ini saya akan tiba di rumah selepas waktu berbuka lebih kurang jam 8 malam memandangkan saya berulang-alik dari Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Jadi, pada hujung minggu sahaja kami dapat berbuka bersama-sama.
"Tetapi pada tahun ini, saya dapat merasakan kemeriahan yang berganda apabila dapat berbuka puasa dan bertarawih bersama keluarga besar," katanya yang bertugas sebagai Pegawai Audit di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Menurutnya, beliau dan suami juga bercadang memohon pergerakan rentas negeri untuk pulang ke Seremban setelah kerajaan memberi kelonggaran untuk berbuat demikian.
"Bagaimanapun kami masih menimbangkan perkara ini sebaiknya kerana banyak aspek perlu diambil kira termasuk anak-anak.
"Namun jika PKP dilanjutkan ke fasa seterusnya, mungkin kami akan terus berada di sini," katanya yang turut berterima kasih kepada jiran-jirannya yang membantu memantau keadaan rumah mereka di Seremban sepanjang PKP ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!