Covid-19: Lima daerah di Terengganu kini zon hijau
KUALA TERENGGANU - Lima daerah di Terengganu telah diisytiharkan zon hijau apabila tiada kes baharu koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 14 hari daripada kes terakhir yang dilaporkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah yang terlibat adalah Hulu Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.
Menurutnya, Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan sifar kes Covid-19 setakat ini.
"Apabila tiada kes dalam tempoh 14 hari, kita boleh katakan Covid-19 di daerah berkenaan sudah berakhir.
"Pihak JKNT ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga Terengganu yang memberikan kerjasama yang baik seterusnya berjaya menjadikan daerah mereka zon hijau.
"Bagaimanapun, mereka masih perlu memberikan kerjasama dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kita tidak mahu ia kembali bertukar ke zon kuning, jingga dan sebagainya," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di sini hari ini.
Dr Nor Azimi turut menasihatkan penduduk di Terengganu agar terus mempraktikkan amalan sentiasa membasuh tangan menggunakan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman.
Selain itu, amalan penjarakkan sosial perlu diteruskan, iaitu jarak satu meter antara satu sama lain serta keluar rumah hanya jika mempunyai urusan penting sahaja.
"Kita akan memasuki fasa keempat PKP dalam usaha memerangi Covid-19. Kita akan berjaya jika semua pihak terus memberikan kerjasama yang terbaik.
"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan keselamatan yang terus komited dan dedikasi menjalankan tugas mereka dalam perjuangan ini," katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan statistik terkini Covid-19 yang dikeluarkan Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu, sebanyak 110 kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri ini dengan 54 kes telah sembuh dan 1 kematian direkodkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!