Isu Rohingya: Kerajaan perlu lobi ASEAN desak Myanmar henti penindasan
SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa kerajaan Malaysia supaya mendesak Myanmar serta melobi negara ASEAN untuk menekan negara itu supaya menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya.
Timbalan Presidennya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata, ini kerana pelarian Rohingya adalah antara isu serantau yang tidak mendapat perhatian baik dari banyak negara jiran dan pertubuhan menyifatkan usaha sedemikian dapat meningkatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkemampuan untuk menangani atau menjuarai isu kemanusiaan di peringkat serantau.
"Untuk menjuarai isu kemanusiaan serantau ini, Malaysia mesti mendesak Myanmar dengan kuat dan melobi negara-negara ASEAN lain untuk menekan Myanmar agar menghentikan segala bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap etnik Rohingya.
"Di masa sama kerajaan perlu mengusulkan satu tabung kemanusiaan khas dan pembangunan pendidikan untuk menangani isu pelarian etnik Rohingya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas berkenaan isu penolakan kemasukan pelarian Rohingya ke Malaysia baru-baru ini pula, Isma berpandangan, itu hanya jalan terakhir boleh diambil sekiranya segala usaha lain telah dilakukan.
"Tetapi di masa yang sama, tindakan itu mestilah disusuli dengan tindakan yang menjamin keselamatan nyawa pelarian tersebut," katanya.
Menurutnya, pejuang kebebasan Rohingya dari kalangan etnik itu dinasihatkan turut melobi di peringkat antarabangsa supaya hak mereka sebagai rakyat Myanmar diiktiraf dari segi undang-undang.
Katanya, pemimpin terbabit mesti berjuang ke arah itu dan bukannya mendesak mana-mana kerajaan lain seperti Malaysia untuk memberikan mereka taraf kewarganegaraan.
"Komuniti pelarian Rohingya di Malaysia pula sama ada berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mahu pun tidak, mesti menghormati budaya dan undang-undang Malaysia serta sumbangan bantuan kemanusiaan yang diberikan.
"Sebarang tindakan melampaui batas akan menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia yang akan membawa kepada desakan agar keistimewaan ini ditarik balik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!